Pengisian kekosongan jawatan di Hospital Pasir Gudang perlu dipercepat – Exco Johor

Hospital Pasir Gudang/ BERNAMA

JOHOR BAHRU, 5 November – Pengisian kekosongan jawatan, khususnya membabitkan jururawat di Hospital Pasir Gudang (HPG), perlu dipercepat bagi memastikan operasi hospital itu dapat dipertingkat demi memenuhi keperluan pesakit.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ling Tian Soon berharap KKM menyegerakan penempatan untuk mengisi 513 kekosongan jururawat di Hospital Pasir Gudang.
  • Setakat ini 343 jawatan jururawat telah diisi; bagi doktor 197 diisi dan hanya sembilan kekosongan tinggal.
  • Kadar pengisian perjawatan meningkat daripada 48 peratus bulan lalu kepada 52 peratus sekarang.
  • Kesemua 14 kepakaran beroperasi sepenuhnya walaupun menghadapi kekangan sumber manusia dan beberapa wad belum dibuka.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, pihaknya berharap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat menyegerakan penempatan tenaga kerja bagi mengisi 513 kekosongan penjawatan jururawat di hospital berkenaan.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 343 penjawatan jururawat telah diisi, manakala bagi jawatan doktor, 197 penjawatan telah diisi dengan hanya sembilan kekosongan masih belum diisi.

Menurutnya, kadar pengisian perjawatan di HPG menunjukkan peningkatan daripada 48 peratus bulan lalu kepada 52 peratus ketika ini.

“Berhubung isu perjawatan di hospital, khususnya Hospital Pasir Gudang, terdapat peningkatan pengisian perjawatan daripada 48 peratus bulan lepas kepada 52 peratus sekarang.

“Kesemua 14 kepakaran telah beroperasi sepenuhnya walaupun berdepan kekangan sumber manusia dan belum dapat membuka semua wad,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pelancaran Program Pemulihan Sungai Sengkuang, Segget dan Danga di Sungai Sengkuang, Jalan Batik, Taman Sentosa, di sini.

HPG yang terletak di Bandar Seri Alam, Masai mula beroperasi secara berperingkat pada 1 Ogos 2025 bagi membantu mengurangkan kesesakan pesakit di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.