EU rancang sijil literasi AI untuk pelajar sekolah

Gambar hiasan

BRUSSEL, 5 November – Kesatuan Eropah (EU) merancang untuk memulakan projek rintis sijil literasi AI untuk pelajar sekolah sebagai sebahagian daripada usaha menangani impak teknologi yang berkembang pesat itu dalam sektor pendidikan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sijil ajar murid fahami AI, semak ketepatan maklumat, kesan manipulasi dan tahu bila perlu berhenti menggunakannya.
  • EU menyokong usaha menguji aplikasi AI secara selamat dalam pembelajaran walaupun tidak mengawal dasar pendidikan negara anggota.
  • Brussel menggubal undang-undang had akses media sosial bagi remaja; inisiatif itu tidak bercanggah dengan pembelajaran peribadi berasaskan AI.

Pihak berkuasa memaklumkan mereka berhasrat untuk melancarkan sijil baharu tersebut bagi pelajar berusia 15 tahun menjelang sesi persekolahan 2027/2028.

“Langkah itu akan membantu murid memahami cara AI berfungsi, menyemak ketepatan maklumat yang diberikan, mengesan manipulasi serta mengetahui bila waktu untuk berhenti menggunakannya,” kata Naib Presiden Suruhanjaya Eropah Roxana Minzatu.

Tindakan berkenaan diambil ketika para guru dan pelajar di seluruh dunia sedang berdepan dengan cabaran serta impak penggunaan AI di dalam bilik darjah.

Meskipun EU tidak mengawal dasar pendidikan secara langsung di 27 negara anggotanya, blok berkenaan menyokong pelbagai usaha untuk menguji cara mengaplikasikan AI secara selamat dalam proses pembelajaran kanak-kanak.

Pada masa sama, Brussel turut menggubal undang-undang bagi mengehadkan akses media sosial dalam kalangan remaja.

Minzatu menegaskan kedua-dua inisiatif berkenaan tidak bercanggah antara satu sama lain.

“AI mempunyai potensi besar untuk mempertingkat proses pendidikan tertentu seperti bimbingan tutor serta pembelajaran secara peribadi (personalised learning).

“Itu merupakan kaedah penggunaan teknologi dan AI yang langsung tidak ada kaitan dengan algoritma ketagihan pada platform media sosial,” jelasnya.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.