Sijil kelahiran lama masih sah, tidak perlu ditukar – KP JPN

Foto hiasan

GUA MUSANG, 13 Oktober – Rakyat tidak perlu tergesa-gesa menukar sijil kelahiran lama, termasuk dokumen bertulisan tangan, kerana ia masih sah digunakan bagi urusan rasmi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Orang yang mahukan format terkini boleh ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk mendapatkan cabutan sijil kelahiran baharu.
  • JPN meminta penyedia perkhidmatan menaik taraf sistem pembaca kad supaya MyKad generasi baharu dapat dibaca untuk pengesahan identiti elektronik.
  • Sistem JPN telah disesuaikan untuk membaca semua dokumen pengenalan diri.
  • Sebanyak 202,829 MyKad generasi baharu dikeluarkan di seluruh negara antara 17 September hingga 11 Oktober.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Badrul Hisham Alias, berkata sijil kelahiran yang dikeluarkan sejak dahulu kekal sah dan tidak terbatal hanya disebabkan perbezaan format dokumen.

“Orang ramai boleh terus menggunakan sijil kelahiran asal masing-masing tanpa perlu mendapatkan dokumen baharu semata-mata kerana formatnya berbeza daripada sijil yang dikeluarkan ketika ini.

“Bagaimanapun, mereka yang memerlukan dokumen dalam format terkini boleh hadir ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mendapatkan cabutan sijil kelahiran baharu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Literasi Pendaftaran sempena sambutan Hari Pendaftaran Negara ke-78 peringkat Kelantan di Pos Balar, di sini.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta penyedia perkhidmatan menaik taraf sistem pembaca kad masing-masing bagi memastikan MyKad generasi baharu dapat dibaca dengan lancar untuk urusan pengesahan identiti elektronik (eKYC).

Katanya, sistem JPN telah disesuaikan untuk membaca semua dokumen pengenalan diri, namun penyedia perkhidmatan perlu meningkatkan kesediaan sistem mereka bagi memastikan kelancaran urusan berkenaan.

Sebanyak 202,829 MyKad generasi baharu dikeluarkan di seluruh negara bagi tempoh 17 September hingga 11 Oktober lalu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.