Malaysia-Jordan teroka kerjasama perdagangan, pertahanan

Foto Bernama

SEPANG, 12 Oktober – Malaysia dan Jordan akan meneroka peluang baharu dalam perdagangan, pelaburan dan industri pertahanan bagi memperkukuh hubungan dua hala, susulan pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan Raja Jordan, Raja Abdullah II ibn Al Hussein, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Potensi bekalan fosfat Jordan untuk industri baja Malaysia dan penggunaan perjanjian perdagangan bebas Jordan bagi akses pasaran AS, Kanada dan EU.
  • Jordan berminat mempelajari ekosistem semikonduktor Malaysia untuk membangunkan teknologi, disokong cadangan lawatan rasmi untuk rundingan teknikal.
  • Memperluas kerjasama pertahanan termasuk industri dan latihan pegawai tentera, serta pembincangan menghidupkan semula penerbangan terus Amman-Kuala Lumpur.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pertemuan kira-kira 30 minit di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu membincangkan usaha meningkatkan keberkesanan kerjasama kedua-dua negara, khususnya dalam bidang yang mampu memberikan manfaat ekonomi bersama.

“Antara potensi kerjasama yang dikenal pasti ialah bekalan fosfat dari Jordan bagi memenuhi keperluan industri baja Malaysia, khususnya untuk sektor perladangan kelapa sawit.

“Syarikat Malaysia juga boleh memanfaatkan kedudukan Jordan yang mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengan Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Kesatuan Eropah (EU) untuk meneroka pasaran berkenaan menerusi usaha sama,” katanya ketika ditemui selepas keberangkatan pulang Raja Abdullah II di Kompleks Bunga Raya, di sini, hari ini.

Nilai perdagangan dua hala Malaysia-Jordan mencecah RM993.4 juta pada 2025, meningkat 15.2 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, nilainya meningkat lapan peratus kepada RM740.7 juta.

Selain perdagangan, Datuk Seri Mohamad berkata, Jordan turut berminat mempelajari ekosistem semikonduktor Malaysia bagi membolehkan teknologi berkenaan dibangunkan di negara itu.

Dalam bidang pertahanan, kedua-dua negara akan meneliti peluang memperluas kerjasama industri, selain meneruskan hubungan sedia ada termasuk latihan pegawai tentera Jordan di Malaysia.

Beliau berkata, cadangan menghidupkan semula penerbangan terus antara Amman dan Kuala Lumpur turut dibincangkan bagi merancakkan sektor pelancongan serta memudahkan perjalanan rakyat Malaysia yang mengikuti pakej umrah menerusi Jordan.

Datuk Seri Mohamad turut memaklumkan, akan mengadakan lawatan ke Amman pada awal tahun depan bagi mengadakan rundingan dua hala di peringkat pegawai sebelum memperincikan bidang kerjasama bersama rakan sejawatnya di Jordan.

“Kita tidak mahu terlalu banyak perkara hendak dilakukan. Kalau dapat satu atau dua perkara, kita jayakan tetapi perlu dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.

Raja Abdullah II berangkat pulang hari ini selepas mengadakan lawatan negara selama dua hari ke Malaysia atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim. Lawatan itu merupakan kunjungan negara kedua baginda ke Malaysia selepas lawatan pertama pada Mei 2008.

Hubungan rakyat dengan rakyat turut menjadi tonggak hubungan kedua-dua negara, dengan seramai 1,636 pelajar Malaysia melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi di Jordan setakat 2026, manakala lebih 1,490 pelajar Jordan menuntut di Malaysia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.