Penghantaran Ubat Melalui Pos kini diperluas kepada ubat kawalan suhu

Foto FB Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor

JOHOR BAHRU, 12 Oktober – Johor memperluas perkhidmatan penghantaran Ubat Melalui Pos (UMP) percuma kepada ubat-ubatan yang memerlukan kawalan suhu bagi memudahkan pesakit mendapatkan bekalan tanpa perlu berulang-alik ke fasiliti kesihatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jumlah bungkusan bulanan meningkat daripada kira-kira 9,000 kepada 29,000 sejak inisiatif Ubat Melalui Pos dilancarkan pada 2024.
  • Kerajaan negeri membiayai inisiatif RM49,500 sehingga 31 Julai 2027, menyasarkan 275 pesakit sebulan di enam fasiliti kesihatan.
  • Enam fasiliti KKM di Johor Bahru mula penghantaran rantaian sejuk secara penghantaran hari sama pada 1 Ogos.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, inisiatif yang diperkenalkan pada 2024 itu sebelum ini hanya melibatkan penghantaran ubat-ubatan biasa.

“Semasa kita mulakan inisiatif Ubat Melalui Pos secara percuma pada tahun 2024, pada masa itu bungkusan yang diposkan setiap bulan sekitar 9,000 unit sahaja. Kini, jumlahnya mencecah 29,000 bungkusan setiap bulan.

“Ini bermakna lebih ramai pesakit sudah mengetahui inisiatif ini dan menggunakan perkhidmatan berkenaan. Kami berharap melalui inisiatif baharu ini, lebih ramai pesakit dapat memanfaatkan perkhidmatan Ubat Melalui Pos,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran perkhidmatan penghantaran ubat rantaian sejuk dan penyerahan sumbangan kerajaan negeri di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.

Inisiatif yang menelan belanja RM49,500 itu dibiayai kerajaan negeri sehingga 31 Julai 2027 dan menyasarkan 275 pesakit sebulan di enam fasiliti kesihatan.

Sementara itu, enam fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Johor Bahru turut memulakan penghantaran ubat rangkaian sejuk secara penghantaran hari yang sama pada 1 Ogos lalu.

Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri memaklumkan, tiada peningkatan kemasukan pesakit ke fasiliti kesihatan awam di Johor susulan jerebu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.