Rusia belum sahkan gencatan senjata berhubung serangan infrastruktur tenaga Ukraine

Anggota bomba menjalankan operasi di lokasi sebuah bangunan kediaman yang rosak dipercayai akibat serangan dron Rusia di Kharkiv, Ukraine, pada Isnin./ AFP

MOSCOW, 12 Oktober – Rusia masih belum mengesahkan gencatan senjata yang melibatkan serangan terhadap infrastruktur tenaga di Ukraine seperti yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

RINGKASAN BERITA AI
  • Rundingan dengan Amerika Syarikat masih diteruskan; Moscow akan berikan perkembangan jika rundingan membuahkan hasil.
  • Moscow menolak gencatan sementara; hanya akan menghentikan pertempuran apabila penyelesaian berkekalan dicapai.
  • Peskov menuduh negara Eropah menyokong peperangan dan tidak berbuat untuk menggalakkan keamanan.
  • Peskov tolak cadangan gencatan 60 hari Zelensky, dakwa ia memberi masa bagi Ukraine menyusun semula kekuatan.

Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov berkata pada Isnin bahawa rundingan dengan Amerika Syarikat masih diteruskan dan Moscow akan memberikan perkembangan terkini sekiranya rundingan itu membuahkan hasil.

Trump pada Ahad mengumumkan penghentian serangan terhadap infrastruktur tenaga, sekali gus mengejutkan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky, yang bagaimanapun menyatakan kesediaannya untuk menerima cadangan itu.

Moscow berulang kali menolak gesaan untuk melaksanakan gencatan senjata sementara, dengan menegaskan bahawa pertempuran hanya akan dihentikan apabila penyelesaian berkekalan dicapai.

Peskov memuji usaha Washington untuk menamatkan perang itu.

“Kami berterima kasih atas usaha yang diteruskan ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menuduh kerajaan Eropah tidak melakukan apa-apa untuk menggalakkan keamanan.

“Negara Eropah cenderung menyebelahi peperangan dengan melakukan segala yang mungkin untuk memastikan perang ini tidak berakhir,” kata Peskov.

Jurucakap Kremlin itu turut menolak cadangan terbaharu Zelensky untuk melaksanakan gencatan senjata selama 60 hari bagi membolehkan Ukraine mengadakan pilihan raya.

“Kami tidak mahu gencatan senjata, sebaliknya keamanan yang berkekalan dan kami bersedia melakukan segala yang mungkin untuk mencapainya,” kata Peskov.

Beliau mendakwa Zelensky mahu menggunakan tempoh gencatan senjata itu bukan untuk mengadakan pilihan raya, tetapi bagi memberi masa kepada pasukan Ukraine untuk menyusun semula kekuatan mereka.

Rusia melancarkan pencerobohan berskala penuh ke atas Ukraine pada Februari 2022. – BERNAMA-dpa

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.