
WASHINGTON, 13 Oktober – Yang di-Pertua Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Mike Johnson menyuarakan kebimbangan berhubung cadangan menyiarkan hukuman mati secara langsung membabitkan pesalah.
- Mike Johnson bimbang siaran langsung hukuman mati boleh menghasilkan rakaman video untuk merekrut pengganas.
- Siaran itu akan menjadi hukuman mati tentera pertama menggunakan skuad penembak sejak 1945.
- Pete Hegseth mempertahankan siaran langsung, manakala Presiden Trump belum membuat keputusan muktamad.
Reaksi itu susulan keputusan hukuman mati secara tembakan sampai mati terhadap Nidal Hasan, 56, pada 3 Disember depan di Fort Hood, Texas.
Dia didapati bersalah menembak mati seramai 13 individu pada tahun 2009.
“Kebimbangannya ialah siaran tersebut boleh menghasilkan rakaman video yang dijadikan alat merekrut ahli baharu bagi kumpulan pengganas pada masa hadapan,” kata Johnson.
“Kita perlu meneliti implikasi dasar daripada perkara ini secara mendalam,” jelas ahli politik Parti Republikan itu lagi termasuk menyatakan rakan sejawatannya turut menyuarakan kebimbangan sama.
Siaran langsung hukuman tersebut bakal menjadi hukuman mati tentera AS pertama menggunakan skuad penembak sejak tahun 1945.
Dalam pada itu, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth mempertahankan cadangan siaran langsung berkenaan.
“Kami akan memastikan orang ramai dapat menontonnya dan ia bersifat terbuka,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Donald Trump memaklumkan keputusan muktamad sama ada hukuman mati itu akan disiarkan secara langsung atau tidak, masih belum ditetapkan.- AFP