Ketegangan meningkat, Korea Utara uji peluru berpandu balistik

Foto Fail AFP

SEOUL, 13 Oktober – Korea Utara dilaporkan melancarkan beberapa peluru berpandu balistik dari pantai timurnya pada Isnin, menurut tentera Korea Selatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • JCS mengesan peluru berpandu menuju Laut Timur; beberapa terbang melebihi 900 kilometer dan pemantauan ketenteraan ditingkatkan.
  • Pejabat Keselamatan Negara mengadakan mesyuarat kecemasan untuk menyemak tahap kesiapsiagaan tentera.
  • KCNA berkata ujian peluru berpandu balistik taktikal berjaya; Jepun dan AS mengesahkan pelancaran tanpa ancaman segera.

Jelas Ketua Turus Bersama (JCS) Korea Selatan, pihaknya mengesan beberapa peluru berpandu balistik dilepaskan dari kawasan Pyongyang menuju ke Laut Timur pada pukul 9:20 pagi waktu tempatan.

“Tentera kami telah meningkatkan pemantauan dan kewaspadaan terhadap kemungkinan pelancaran susulan,” jelas JCS dalam satu kenyataan, sambil menambah beberapa peluru berpandu berkenaan terbang melebihi jarak 900 kilometer.

Ekoran pelancaran tersebut, Pejabat Keselamatan Negara Korea Selatan telah mengadakan mesyuarat keselamatan tergempar bagi menyemak tahap kesiapsiagaan tentera negara itu.

Ketegangan di rantau berkenaan semakin memuncak sejak letupan yang mencederakan tiga tentera Korea Selatan di kawasan Zon Bebas Tentera (DMZ) kawalan Seoul.

Kedua-dua pihak dilapor menguji teknologi peluru berpandu yang dinaik taraf.

Agensi berita rasmi Pyongyang, KCNA pada Selasa menyatakan Korea Utara menguji peluru berpandu balistik taktikal bagi mengesahkan kejayaan penyelidikannya.

Bagaimanapun tiada perincian lanjut mengenai perkara terbabit.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Jepun secara berasingan mengesahkan pelancaran sekurang-kurangnya satu peluru berpandu balistik.

Manakala Pemerintah Pasifik Amerika Syarikat (AS) memaklumkan dua peluru berpandu dilepaskan namun tidak memberikan ancaman serta-merta kepada anggota, wilayah AS mahupun sekutunya.

Dalam pada itu, siasatan bersama Seoul dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) minggu lalu berkata Korea Utara bertanggungjawab menanam periuk api yang meletup di DMZ lebih sembilan bulan lalu.

Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh Pyongyang.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.