
ASUNCION, 9 November – Polis Paraguay menyerbu kediaman rasmi dan peribadi bekas Presiden Santiago Pena, sebagai sebahagian siasatan jenayah skala besar melibatkan skandal kejatuhan institusi kewangan digital utama, Ueno Bank.
- Pengambilalihan Ueno Bank menyebabkan hampir separuh daripada 6.5 juta penduduk tidak dapat mengakses akaun mereka.
- Pena dikenakan tahanan rumah, dituduh menyalurkan dana deposit kerajaan kepada Ueno dan menyembunyikan masalah kewangan.
- Kerajaan membayar balik kepada 1.2 juta pelanggan Ueno, sejumlah kira-kira AS$158 juta, dan agihan wang diteruskan minggu ini.
Pihak berkuasa minggu lepas, telah mengambil alih Ueno Bank sehingga menjejaskan hampir separuh daripada 6.5 juta penduduk yang tidak dapat mengakses akaun masing-masing.
Situasi berkenaan telah mencetuskan tunjuk perasaan di negara itu.
Pena yang kini dikenakan tahanan rumah, telah dituduh menggunakan pengaruhnya sebagai presiden untuk menyalurkan dana deposit kerajaan bernilai jutaan dolar kepada Ueno Bank serta menyembunyikan masalah kewangan, walaupun telah diberi amaran mengenai pinjaman yang meragukan.
Sementara itu, pihak pendakwa raya menerusi kenyataan memaklumkan serbuan di kediaman berkenaan merupakan sebahagian daripada siasatan.
Naib Presiden Pedro Alliana mengambil alih jawatan Pena pada Ahad memaklumkan, kerajaan telah membayar balik wang kepada 1.2 juta pelanggan Ueno Bank yang dananya dibekukan susulan kejatuhan bank berkenaan.
Jumlah pembayaran balik setakat ini mencecah kira-kira AS$158 juta dan proses pengagihan wang akan diteruskan sepanjang minggu ini.-AFP