
SIK, 13 Oktober – Seorang pelajar lelaki maut, manakala rakannya cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka merempuh sebuah lori di Jalan Kampung Kerawai, di sini, semalam.
- Polis menerima maklumat kemalangan pada pukul 2.50 petang.
- Lori bergerak dari Jeniang ke Kampung Kerawai; motosikal dari SMK Seri Enggang ke Kampung Bandar Hilir.
- Lori membelok kanan memasuki simpang; motosikal dari arah belakang tidak sempat mengelak sebelum merempuh.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ketua Polis Daerah Sik, Superintenden Syamzury Saman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan membabitkan kedua-dua kenderaan itu pada pukul 2.50 petang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lori berkenaan dalam perjalanan dari Jeniang menghala ke Kampung Kerawai, manakala motosikal dinaiki kedua-dua pelajar bergerak dari arah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Enggang menuju ke Kampung Bandar Hilir.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, lori terbabit membelok ke kanan untuk memasuki simpang.
“Motosikal yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak sebelum merempuh lori berkenaan, menyebabkan motosikal ditunggang mangsa yang berusia 16 tahun itu, terperosok di bawah lori,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pembonceng yang mengalami kecederaan parah dibawa ke Hospital Sik untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.