
KUANTAN, 13 Oktober – Seorang pengusaha kebun durian kerugian mencecah RM202,460 selepas terpedaya dengan tawaran nombor ramalan tidak wujud.
- Wanita berusia 63 tahun berkenalan dengan suspek di Thailand melalui iklan media sosial yang menawarkan tilik nasib kewangan 2025.
- Mangsa diarahkan berurusan dengan ejen di Kelantan yang mendakwa mangsa memenangi hadiah utama loteri sebanyak RM1,200,000.
- Untuk mengeluarkan wang kemenangan, mangsa diminta membuat bayaran urusan bank dan cukai pemindahan wang antara negara.
- Mangsa membuat 12 transaksi ke enam akaun menggunakan simpanan dan pajakan barang kemas, lalu membuat laporan polis; kes disiasat di bawah Seksyen 420.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob mengesahkan wanita berusia 63 tahun itu telah berkenalan dengan seorang individu di Thailand menerusi iklan di laman sosial yang menawarkan perkhidmatan tilik nasib kewangan pada 2025.
“Mangsa yang tertarik dengan tawaran tersebut telah menghubungi suspek yang berada di selatan Thailand dengan memaklumkan wanita berkenaan boleh mengubah nasib dengan membeli tiket loteri serta berpeluang memenangi hadiah utama.
“Mangsa kemudian diarah berurusan dengan seorang individu lain yang didakwa sebagai ejen di Kelantan bagi tujuan pembayaran dan telah memenangi hadiah tempat pertama loteri berjumlah RM1.2 juta.
“Bagi membolehkan wang kemenangan tersebut dikeluarkan, mangsa diminta membuat beberapa bayaran untuk tujuan urusan pihak bank dan cukai pindahan wang antara negara,”katanya.
Beliau turut memaklumkan, mangsa telah membuat 12 transaksi ke enam akaun bank berbeza bermula 23 Disember 2025 sehingga 22 Mei lepas menggunakan wang simpanan serta hasil pajakan barang kemas.
Mangsa, bagaimanapun tidak menerima sebarang wang kemenangan seperti yang dijanjikan dan menyedari telah diperdaya serta membuat laporan polis.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.