UiTM dicadang wujudkan Jabatan Kuantum, perkukuh kepakaran teknologi baharu

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

SHAH ALAM, 4 Oktober – Universiti Teknologi MARA (UiTM) dicadang mewujudkan Jabatan Kuantum pada 2027 sebagai langkah memperkukuh kepakaran negara dalam teknologi baharu berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Teknologi kuantum mesti dikuasai supaya Malaysia tidak ketinggalan, selari dengan negara maju.
  • Usaha itu diharapkan berkembang menjadi sebuah fakulti di masa hadapan.
  • Peruntukan permulaan RM500,000 disediakan; agihan dikendalikan Tan Sri Kamil untuk merealisasikan penubuhan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha itu berpotensi dikembangkan menjadi sebuah fakulti pada masa akan datang.

Menurutnya, teknologi kuantum penting bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam perkembangan teknologi terkini, seiring negara-negara maju.

“Saya berharap Jabatan Kuantum dapat diwujudkan di UiTM ini, yang akhirnya akan berkembang menjadi sebuah fakulti. Ini merupakan teknologi baharu yang akan meletakkan negara kita di garisan hadapan, seiring dengan negara-negara maju yang lain.

“Kecerdasan buatan (AI) sememangnya baik dan telah dijalankan dengan cukup cemerlang, tetapi kuantum ialah teknologi baharu yang berasaskan dapatan teknologi terkini. Malaysia tidak seharusnya ketinggalan dalam hal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Ilmuan Islam Malaysia di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM di sini.

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara berkata, peruntukan RM500,000 disediakan sebagai modal permulaan bagi membantu merealisasikan penubuhan Jabatan Kuantum di UiTM.

“Mengenai perkara itu, saya serahkan kepada Tan Sri Kamil nanti untuk menguruskan pengagihannya. Ini sekadar modal permulaan yang akan saya salurkan supaya langkah-langkah penubuhan jabatan tersebut dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.