KPDN kaji kerangka undang-undang banteras ulat tiket

Datuk Dr Fuziah Salleh/ RTM

KUALA LUMPUR, 13 Oktober- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang mengkaji kerangka undang-undang bagi membendung kegiatan ulat tiket, dengan hasil kajian dijangka dimuktamadkan untuk pelaksanaan tahun hadapan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penelitian terhadap Seksyen 15(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi mengenal pasti peruntukan kawalan terhadap ulat tiket.
  • Tiada peruntukan undang-undang khusus; libat urus dengan penganjur dan kajian sedang dijalankan untuk mewujudkan mekanisme undang-undang.
  • Akta 723 menyediakan punca kuasa kepada menteri untuk menggubal peraturan bagi mengekang aktiviti ulat tiket.
  • Ulat tiket menyebabkan harga melambung dan risiko penipuan; KPDN pergiat advokasi pengguna dan galakkan penjualan tiket telus.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata kajian itu merangkumi penelitian terhadap Seksyen 15(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi mengenal pasti peruntukan yang boleh digunakan untuk mengawal aktiviti berkenaan.

“Ketika ini, tiada peruntukan undang-undang khusus berkaitan isu ulat tiket. Namun, KPDN sedang menjalankan libat urus dengan penganjur acara serta melaksanakan kajian bagi mewujudkan satu kerangka undang-undang.

“Di bawah Akta 723, iaitu Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, terdapat punca kuasa yang boleh digunakan oleh menteri dan kementerian untuk mewujudkan mekanisme dalam bentuk peraturan bagi mengekang aktiviti ulat tiket,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa mengenai kajian bagi menggubal undang-undang khusus untuk menangani kegiatan ulat tiket.

Datuk Dr Fuziah berkata kajian itu turut meneliti cabaran penguatkuasaan bagi memastikan peraturan yang bakal diwujudkan dapat dilaksanakan dengan berkesan termasuk mengambil kira ciri transaksi tiket yang berbeza khususnya bagi acara yang berlangsung sekali sahaja.

Menurutnya, kegiatan ulat tiket boleh menyebabkan pengguna terpaksa membayar harga jauh lebih tinggi daripada harga asal, selain berdepan risiko penipuan.

Sehubungan itu, KPDN akan terus mempergiat advokasi pengguna dan mengadakan libat urus dengan penganjur acara bagi menggalakkan penjualan tiket secara lebih telus termasuk penyampaian maklumat terma dan syarat pembelian yang jelas.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.