
KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menyalurkan ganjaran keseluruhan RM160,000 kepada 12 pemain dan dua jurulatih skuad sepak takraw lelaki negara sebagai penghargaan atas kejayaan menamatkan penantian 36 tahun untuk meraih pingat emas acara regu berpasukan pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
- PSM menyalurkan ganjaran tunai dan bukan tunai; jongkong emas serta baucar beli-belah daripada rakan strategik Telekom Malaysia.
- Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan, berkata penghargaan itu menghargai pengorbanan pemain dan turut meliputi acara regu berpasukan serta regu lelaki.
- Pemberian insentif ditentukan oleh kemampuan kewangan persatuan dan berpotensi dinaikkan pada masa hadapan.
- Skuad Golden Tigers menewaskan Thailand dalam final regu berpasukan dan meraih naib juara dalam acara regu lelaki.
Selain ganjaran wang tunai, barisan skuad Golden Tigers turut menerima jongkong emas serta baucar beli-belah daripada rakan strategik, Telekom Malaysia (TM Group).
Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, pemberian insentif itu merupakan inisiatif persatuan bagi menghargai pengorbanan dan sumbangan pemain, termasuk kejayaan meraih pingat perak dalam acara regu lelaki.
“Ini mungkin kali pertama dalam sejarah persatuan sepak takraw Malaysia kita memberikan penghargaan kepada pemain dengan jumlah yang agak besar.
“Walaupun dalam acara regu lelaki kita hanya mendapat naib juara selepas tewas pada perlawanan akhir, kita tetap memberikan insentif berdasarkan pengiraan yang telah ditetapkan.
“Kedua-dua acara, iaitu regu berpasukan dan regu lelaki, menerima insentif,” katanya selepas Majlis Penghargaan Skuad Sepak Takraw Kebangsaan di sini.
Hadir sama, Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Nur Azmi Ahmad; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin; dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Dr P. Vellapandian.
Mengulas lanjut, Datuk Mohd Sumali berkata, jumlah ganjaran ditentukan berdasarkan kemampuan kewangan semasa persatuan, namun tidak menolak kemungkinan nilainya ditingkatkan pada masa hadapan.
Menurutnya, pemain juga dijangka menerima insentif tambahan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), selain penghargaan daripada pihak lain termasuk majikan masing-masing.
“Sudah tentu mereka juga akan menerima insentif lain menerusi SHAKAM daripada pihak MSN dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“Saya juga dimaklumkan ada majikan pemain yang berhasrat memberikan insentif dan alhamdulillah, ini rezeki buat semua pemain yang menjadi wira negara,” katanya.
Pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, skuad sepak takraw lelaki negara menamatkan penantian 36 tahun untuk merangkul pingat emas acara regu berpasukan selepas menewaskan musuh tradisi, Thailand, 2-0 pada aksi final.
Malaysia turut meraih pingat perak dalam acara regu lelaki selepas tewas 0-2 kepada Thailand, sekali gus melengkapkan kempen cemerlang skuad Golden Tigers pada temasya berkenaan.