
PUTRAJAYA, 13 Oktober – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima aduan rasmi berhubung isu membabitkan My EG Sdn Bhd (MyEG) dan Zetrix AI Berhad pada 7 Oktober lalu.
- SPRM memaklum isu berkenaan sedang disiasat oleh PDRM.
- SPRM akan bekerjasama rapat dengan PDRM melalui penelitian dan perkongsian maklumat bagi membantu siasatan.
- SPRM mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan.
- Semua pihak diminta mengelak spekulasi dan penyebaran berita tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan.
Dalam satu kenyataan, SPRM memaklumkan pihaknya mengambil maklum bahawa isu berkenaan sedang disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sehubungan itu, SPRM akan bekerjasama rapat dengan PDRM menerusi penelitian dan perkongsian maklumat bagi membantu siasatan mengikut bidang kuasa pihak polis.
“PDRM akan menyalurkan maklumat kepada SPRM sekiranya terdapat elemen rasuah untuk tindakan lanjut.
“SPRM turut mengalu-alukan kerjasama orang ramai bagi menyalurkan sebarang maklumat berkaitan isu berkenaan,” menurut kenyataan berkenaan.
Pada masa sama, semua pihak diminta mengelakkan spekulasi dan penyebaran berita tidak sahih yang boleh menjejaskan proses siasatan.
SPRM menegaskan komitmennya untuk menjalankan siasatan secara bebas, adil dan berlandaskan undang-undang tanpa sebarang kompromi.