Kes pelajar maut dirempuh kereta: Guru didakwa atas dua pertuduhan

Foto RTM

KOTA BHARU, 13 Oktober – Seorang guru wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan cuai menyebabkan kematian dan kecederaan pelajar tingkatan satu dalam kemalangan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas pada April lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Guru wanita didakwa dua pertuduhan cuai: menyebabkan kematian (Seksyen 304A) dan mencederakan hingga membahayakan nyawa (Seksyen 336).
  • Mahkamah membenarkan ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin; sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Disember.
  • Kejadian 12 April: seorang pelajar Tingkatan Satu maut akibat kecederaan parah di kepala, seorang lagi cedera parah selepas dirempuh.

Tertuduh, Sakinah Ismail, 57, mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Mohd I’zzat Wan Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan cuai yang menyebabkan kematian seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu di kawasan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas di sini, kira-kira 1.40 tengah hari, 12 April lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan cuai dengan melanggar seorang lagi pelajar perempuan Tingkatan Satu menggunakan sebuah kenderaan sehingga membahayakan nyawa mangsa di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda sehingga RM500 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nadzir Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Hasif Hasan dan Wan Fadhil Fayyadh Wan Mohd Zuhairi.

Muhammad Nadzir memohon mahkamah menetapkan wang jaminan RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan, manakala Muhammad Hasif memohon supaya jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya tidak pernah terlibat dalam sebarang kesalahan sebelum ini.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 6 Disember depan untuk sebutan semula kes serta penyerahan dokumen.

Dalam kejadian 12 April lepas, seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala seorang lagi cedera parah selepas dirempuh sebuah kenderaan yang dipandu guru wanita berkenaan di hadapan surau SMK Tanjong Mas.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.