
SUNGAI PETANI, 13 Oktober – Tahanan Warga Myanmar yang disabitkan kesalahan jenayah di negara ini perlu menjalani proses perundangan atau hukuman terlebih dahulu sebelum boleh dihantar pulang ke negara asal.
- Kerajaan Myanmar bersetuju menerima semula rakyatnya selepas saringan dan proses berkaitan dilaksanakan.
- Saringan akan dilakukan terlebih dahulu sebelum tindakan penghantaran pulang dilaksanakan.
- Menteri Dalam Negeri menghadiri Townhall MADANI UiTM Kedah dan menyerahkan sumbangan komputer riba.
- Komitmen awal: 5,000 tahanan akan dihantar pulang, baki 3,600 dihantar secara berperingkat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun kerajaan Myanmar bersedia menerima kembali rakyatnya yang berada di depot tahanan Imigresen di negara ini, saringan akan dibuat terlebih dahulu sebelum tindakan tersebut dilaksanakan.
“Dalam perjumpaan bilateral itu, kerajaan Myanmar bersetuju untuk menerima semula rakyatnya yang berada di negara ini selepas proses berkaitan dilaksanakan, seperti yang telah dijelaskan kepada pihak berkenaan.
“Bagaimanapun, terdapat satu garis merah (red line) yang ditetapkan, iaitu individu yang mempunyai rekod jenayah perlu melalui proses undang-undang terlebih dahulu, tanpa mengira sama ada mereka merupakan tahanan warga Myanmar atau warga negara lain. Sekiranya rekod menunjukkan mereka terlibat dalam kegiatan yang melanggar undang-undang, tindakan sewajarnya akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sebelum mereka dihantar pulang,” katanya selepas menghadiri program Townhall MADANI Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kedah Bersama Menteri Dalam Negeri, di sini, pada Selasa.
Pada majlis tersebut beliau turut menyampaikan sumbangan komputer riba kepada mahasiswa dan komuniti menerusi peruntukan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU).
Hadir sama Pengarah ICU Kedah, Datuk Zepri Saad.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Saifuddin memaklumkan, berdasarkan komitmen awal yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak, 5,000 tahanan Myanmar akan dihantar pulang ke negara itu.
Manakala baki 3,600 warga berkenaan yang dikenal pasti dalam kumpulan berkenaan dijangka dihantar pulang secara berperingkat selepas ini.