Dua wakil RTM Labuan raih pengiktirafan Anugerah Inspirasi Media PPZ-MAIWP

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 5 November –Penghasilan karya berita berkualiti membuahkan hasil apabila dua wakil Radio Televisyen Malaysia (RTM) Labuan meraih pengiktirafan pada Anugerah Inspirasi Media Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) 2026, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mohd Izuandi Jaludin muncul naib johan Kategori Televisyen dan Video Dalam Talian, membawa pulang RM2,000 dan trofi.
  • Mohd Zulhanizam menerima hadiah sagu hati RM500 dalam kategori sama sebagai dorongan menghasilkan karya lebih berkualiti.
  • TVS dinobatkan juara kategori membawa pulang RM3,000 dan trofi; Astro Awani tempat ketiga menerima RM1,000 dan trofi.
  • Anugerah ini mengiktiraf karya media yang memperluas kefahaman masyarakat mengenai zakat dan wakaf.

Mohd Izuandi Jaludin muncul naib johan Kategori Televisyen dan Video Dalam Talian (Berita dan Laporan Khas), sekali gus membawa pulang wang tunai RM2,000 berserta trofi.

Seorang lagi wakil RTM Labuan, Mohd Zulhanizam pula menerima hadiah sagu hati bernilai RM500 dalam kategori sama.

Bagi Mohd Izuandi, pengiktirafan itu cukup bermakna memandangkan penyertaan kali ini merupakan pengalaman pertamanya menyertai pertandingan berkenaan, selain berjaya menempatkan diri dalam kelompok lima finalis terbaik.

“Ini merupakan kali pertama saya menyertai kategori ini dan pertandingan ini dan pertama kali juga Alhamdulillah, dapat menjadi finalis top five. dan rasa bersyukur amat dan tidak percaya jgaklah kerana ini merupakan anugerah pertama saya selama lapan tahun saya berada di RTM Labuan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zulhanizam menyifatkan pengiktirafan berkenaan sebagai pembakar semangat untuk terus menghasilkan karya yang lebih berkualiti serta memperluas penyertaan dalam pelbagai kategori penerbitan pada masa akan datang.

“Syukur kepada Allah atas kemenangan ini dan ini juga akan terus menjadi dorongan kepada saya untuk menghasilkan karya-karya yang lebih baik lagi pada masa hadapan dan ini merupakan kali pertama saya menyertai pertandingan seperti ini saya menang bagi kategori media tv Saya berharap selepas ini saya akan terus menghasilkan dan akan menjadi dorongan juga untuk saya menerbitkan karya-karya dalam pelbagai kategori bukan sahaja untuk televisyen, malah radio dan portal,” katanya.

Kategori berkenaan dimenangi TVS yang membawa pulang wang tunai RM3,000 berserta trofi, sementara Astro Awani menduduki tempat ketiga dengan hadiah RM1,000 berserta trofi.

Anugerah Inspirasi Media PPZ-MAIWP 2026 merupakan inisiatif bagi mengiktiraf karya media yang berupaya memperluas kefahaman masyarakat mengenai zakat dan wakaf.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.