
MERBOK, 13 Oktober – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak berkuasa Jepun bagi mendapatkan maklumat tepat berhubung insiden penahanan lima rakyat Malaysia yang dipercayai terbabit dalam kes dadah di negara itu.
- Menteri minta Pengarah JSJN dan Pengarah Narkotik segera menyediakan laporan serta mendapatkan maklumat lanjut mengenai insiden.
- Lima rakyat Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Haneda disyaki menyeludup kira-kira lima kilogram kokain; kegiatan terbongkar kerana kasut bertapak tebal.
- Inisiatif 17 bersama KDN dan MOT diteruskan; pelaksanaan tiga fasa, pemeriksaan 100% untuk destinasi berisiko tinggi, Tokyo tidak tersenarai.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau telah meminta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, bertindak segera dengan memberikan laporan mengenai insiden berkenaan.
“Saya juga mengikuti perkembangan kes berkenaan menerusi laporan media. Saya turut meminta Pengarah Narkotik, Datuk Seri Husin, supaya segera mendapatkan maklumat lanjut mengenai insiden tersebut. Saya berjanji bahawa sebaik sahaja menerima maklumat lengkap, saya akan memberikan perkembangan terkini mengenai insiden itu,” katanya selepas menghadiri Townhall MADANI bersama Menteri Dalam Negeri di Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini.
Terdahulu lima rakyat Malaysia termasuk seorang wanita dilaporkan ditahan di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, Jepun pada Sabtu selepas disyaki cuba menyeludup kira-kira lima kilogram kokain bernilai 120 juta yen (RM3.1 juta).
Kegiatan itu terbongkar selepas pegawai kastam mengesyaki seorang suspek yang memakai kasut bertapak terlalu tebal. Mereka menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan 17 syor atau inisiatif yang digerakkan menerusi jawatankuasa bersama KDN dan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi memperkukuh keselamatan di KLIA dan pintu masuk negara akan diteruskan.
Pelaksanaan inisiatif itu merangkumi tiga fasa, dengan fasa pertama memberikan tumpuan kepada destinasi yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi.
Jelasnya Bagi destinasi yang disenaraikan sebagai berisiko tinggi, pemeriksaan menyeluruh terhadap penumpang, termasuk pemeriksaan badan dan bagasi akan dilaksanakan 100 peratus, bagaimanapun destinasi di Jepun termasuk Tokyo tidak tersenarai dalam senarai asal kawasan berisiko tinggi berkenaan dan JSJN akan memberikan laporan segera mengenai kedudukan insiden berkenaan.