Sisa kayu cetus kreativiti, penyertaan pertandingan melonjak lebih tiga kali ganda

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad (kanan) pada Pertandingan Sustainable Wood DIY Contest 2026 di Putrajaya

PUTRAJAYA, 4 Oktober – Penyertaan Sustainable Wood DIY Contest 2026 melonjak lebih tiga kali ganda kepada 149 penyertaan tahun ini berbanding 48 penyertaan ketika penganjuran sulung pada 2024.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sisa dan lebihan kayu diubah menjadi produk kreatif serta bernilai tambah menerusi reka bentuk, kreativiti dan kemahiran.
  • Pertandingan MTC From Waste to Wonders galakkan penggunaan kayu kitar semula, mempamerkan rekaan lampu, gitar, meja dan produk inovatif.
  • Platform ini mendekatkan masyarakat dengan industri perkayuan; penilaian berdasarkan kreativiti, kelestarian, fungsi dan mutu pertukangan.

Daripada jumlah itu, 88 penyertaan atau 59 peratus membabitkan Kategori Pelajar, manakala 61 lagi bagi Kategori Awam sekali gus mencerminkan peningkatan minat terhadap kreativiti, penggunaan semula dan penghasilan produk berasaskan kayu.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, kreativiti dan inovasi berupaya mengoptimumkan penggunaan kayu, termasuk bahan lebihan yang masih mempunyai nilai.

“Sisa dan lebihan kayu boleh diberikan fungsi serta nilai baharu melalui kreativiti, reka bentuk dan kemahiran.

“Usaha seperti ini bukan sahaja mengetengahkan bakat baharu, malah menggalakkan penghasilan produk kayu yang kreatif, berfungsi dan bernilai tambah.

“Pendekatan ini penting dalam usaha memperkukuh daya saing industri perkayuan negara,” katanya ketika menyempurnakan majlis penyampaian hadiah pertandingan ‘Sustainable Wood DIY Contest 2026’ di sini hari ini.

Bertemakan From Waste to Wonders, pertandingan anjuran Malaysian Timber Council (MTC) itu menggalakkan peserta mengolah sisa kayu, kayu kitar semula, kayu guna semula dan lebihan potongan kayu kepada produk kreatif serta bernilai tambah.

Antara rekaan yang dipertandingkan termasuk lampu meja eko-kraf, gitar kayu, kerangka dwifungsi sebagai tempat duduk, papan catur lipat, set meja kerja kreatif dan rekaan lampu inovatif.

Sementara itu menurut Pengerusi MTC, Zainal Abidin Abdullah, peningkatan penyertaan menunjukkan pertandingan itu semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, selain membuka ruang meneroka potensi kayu secara kreatif.

“Pertandingan itu turut menjadi platform mendekatkan masyarakat dengan industri perkayuan serta memperlihatkan potensi kayu diolah menjadi produk yang berguna dan bernilai,” katanya.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif MTC, Noraihan Abdul Rahman pula, pertandingan itu turut mengetengahkan kayu sebagai sumber yang boleh diperbaharui serta kepentingan menggunakannya secara optimum dan bertanggungjawab.

Bahan yang dianggap tidak lagi berguna masih boleh diberikan fungsi baharu menerusi kreativiti, reka bentuk dan kemahiran.

Pameran pertandingan itu berlangsung selama tiga hari di IOI City Mall dengan menampilkan 20 produk terbaik daripada Kategori Awam dan Kategori Pelajar.

Para finalis dinilai berdasarkan kreativiti, kelestarian, fungsi dan mutu pertukangan, dengan markah akhir merangkumi 60 peratus penilaian juri dan 40 peratus undian awam.

Bagi setiap kategori, pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga masing-masing menerima RM1,500, RM1,000 dan RM500, manakala peserta tempat keempat hingga ke-10 menerima RM100 setiap seorang berserta sijil.

Rekayu Penang bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) turut menyokong pertandingan itu sebagai Rakan Strategik, menerusi kerjasama kepakaran pertukangan kayu dan akademik bagi memperluas penglibatan pelajar, penggiat kreatif serta masyarakat umum.

Industri perkayuan Malaysia merekodkan nilai eksport kayu dan produk kayu sebanyak RM21.51 bilion pada 2025, dalam pasaran global yang semakin menitikberatkan aspek kemampanan.

Usaha mengoptimumkan penggunaan bahan dan menghasilkan produk bernilai tambah dilihat penting bagi memperkukuh daya saing industri perkayuan Malaysia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.