
KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) dijangka ditandatangani menjelang akhir Jun 2027, dengan kira-kira 80 peratus rundingan telah diselesaikan setakat ini.
- Baki isu rundingan fokus pada sektor minyak sawit dan automotif, memerlukan penyelarasan lanjut.
- Kesatuan Eropah perlu merujuk kembali perkara kepada 27 negara anggota untuk perbincangan lanjut.
- Jika dimuktamadkan, MEUFTA akan menjadi FTA ke-18 Malaysia dan membuka akses pasaran lebih luas.
- Kesatuan Eropah penting bagi Malaysia dan ASEAN dengan perdagangan sekitar 50 bilion dolar AS pada 2025.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, baki 20 peratus rundingan masih melibatkan beberapa perkara yang perlu diselaraskan, khususnya berkaitan sektor minyak sawit dan automotif.
“Saya fikir kita mampu menyelesaikan isu-isu ini. Namun, matlamat utama apabila FTA ini dimeterai adalah untuk mewujudkan akses pasaran bebas antara Malaysia dan Kesatuan Eropah, serta Kesatuan Eropah dan Malaysia.
“Semua isu ini masih dalam perbincangan. Saya fikir hanya menunggu masa sebelum kita dapat memuktamadkan rundingan ini. Bagaimanapun, pihak Kesatuan Eropah juga perlu membawa perkara ini kembali kepada 27 negara anggotanya untuk perbincangan lanjut,” katanya
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas EU-Malaysia Business Day 2026 di sini, hari ini.
Menurut beliau, MEUFTA bakal menjadi perjanjian perdagangan bebas (FTA) ke-18 Malaysia sekiranya berjaya dimuktamadkan, selepas negara memeterai 17 perjanjian seumpamanya dengan negara lain.
Jelas beliau, pemeteraian perjanjian itu penting bagi membuka akses pasaran yang lebih luas antara Malaysia dan Kesatuan Eropah, sekali gus memperkukuh peluang perdagangan kedua-dua pihak.
“Keadaan ekonomi dunia kini berbeza berbanding dahulu. Semakin banyak pasaran yang dapat kita akses, semakin baik peluang perdagangan kita,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, Kesatuan Eropah merupakan pasaran penting bagi Malaysia dan ASEAN, dengan jumlah perdagangan Malaysia bersama EU pada 2025 dianggarkan sekitar 50 bilion dolar Amerika Syarikat (AS).
Daripada jumlah itu, eksport Malaysia ke EU bernilai kira-kira 30 bilion dolar AS, manakala import dari EU berjumlah sekitar $ AS24 bilion dolar.