
KUALA LUMPUR, 13 Oktober- Pelarasan kadar cukai individu dalam Belanjawan 2027 dijangka memberi manfaat kepada pembayar cukai menerusi pengurangan kadar bagi dua julat pendapatan bercukai, kata Pengarah Eksekutif TRATAX, Renganathan Kannan.
- Had pelepasan cukai individu dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000, kenaikan pertama sejak 2010.
- Pelepasan diperluas meliputi perkhidmatan penjagaan selepas bersalin, penjagaan ibu bapa dan datuk nenek serta pembelian kasut sukan.
- Pelepasan turut merangkumi yuran pengajian dan latihan kemahiran, tuisyen, langganan perisian AI, kos vaksinasi dan pengambilan haiwan berdaftar.
- Kenaikan pelepasan dan pengurangan kadar cukai dijangka tambah pendapatan boleh guna sehingga RM1,600 kepada kira-kira lima juta pembayar cukai.
Beliau berkata kadar cukai bagi pendapatan bercukai antara RM70,001 hingga RM100,000 dikurangkan daripada 19 peratus kepada 18 peratus, manakala kadar bagi julat RM100,001 hingga RM150,000 diturunkan daripada 25 peratus kepada 24 peratus.
“Susulan pelarasan ini, secara amnya kebanyakan pembayar cukai akan mendapat manfaat RM800,” katanya kepada RTM hari ini.
Menurutnya, pengiraan cukai secara berperingkat bermakna kesan perubahan kadar itu bergantung pada jumlah pendapatan bercukai seseorang dan bukan semata-mata julat pendapatan keseluruhannya.
Belanjawan 2027 turut menaikkan had pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000, iaitu kenaikan pertama sejak 2010.
Pelepasan cukai individu turut diperluas meliputi perkhidmatan penjagaan selepas bersalin, perbelanjaan penjagaan ibu bapa dan datuk nenek serta pembelian kasut sukan.
Kerajaan juga memperluas pelepasan bagi yuran pengajian dan latihan kemahiran, tuisyen anak, langganan perisian kecerdasan buatan (AI), selain kos vaksinasi dan pengambilan haiwan peliharaan daripada pusat perlindungan berdaftar.
Secara keseluruhan, kenaikan had pelepasan dan pengurangan kadar cukai individu itu dijangka memberikan tambahan pendapatan boleh guna sehingga RM1,600 kepada kira-kira lima juta pembayar cukai, menurut pengumuman Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lepas.