Pelepasan cukai individu dipertingkat, ringankan kos sara hidup

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Peningkatan had pelepasan cukai individu daripada RM9,000 kepada RM12,000 serta pengurangan kadar cukai pendapatan individu pemastautin sebanyak satu mata peratusan, mampu memperkukuh kedudukan kewangan isi rumah dan menyokong permintaan domestik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Belanjawan 2027 menyeluruh, merangkumi individu, PKS, syarikat domestik dan syarikat multinasional.
  • Pengiktirafan golongan berpendapatan sederhana M40 sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi yang mampan.
  • Pelepasan cukai dipertingkat dan pengurangan kadar cukai ringankan kos sara hidup serta sokong perbelanjaan isi rumah.
  • Insentif Hab Perkhidmatan Global dipertingkat dengan kadar keutamaan, boleh diperbaharui lima tahun sekali sehingga maksimum 30 tahun, tarik pelaburan.

Rakan Pengurusan Cukai EY Malaysia, Farah Rosley berkata, langkah berkenaan turut mengiktiraf kepentingan golongan berpendapatan sederhana sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Belanjawan 2027 merupakan belanjawan yang menyeluruh kerana merangkumi pelbagai lapisan masyarakat, termasuk individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat domestik serta syarikat multinasional.

Dari segi pelepasan cukai, inisiatif ini memberikan sedikit kelegaan kepada rakyat kerana pendapatan yang dijimatkan dapat digunakan untuk perbelanjaan isi rumah, khususnya dalam menghadapi kos sara hidup yang tinggi,” katanya kepada berita RTM.

Tambah beliau, penambahbaikan insentif Hab Perkhidmatan Global (GSH) turut berpotensi menarik lebih banyak pelaburan serta menggalakkan syarikat mengembangkan operasi mereka di Malaysia.

“Kerangka insentif yang ditambah baik itu menawarkan kadar cukai keutamaan sebanyak lima peratus kepada syarikat GSH baharu yang layak serta pendapatan tambahan yang layak bagi syarikat GSH dan Hab Prinsipal sedia ada.

“Insentif itu juga boleh diperbaharui bagi tempoh lima tahun setiap kali, sehingga maksimum 30 tahun,” katanya lagi.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 mengumumkan peningkatan had pelepasan cukai individu bagi membantu golongan pertengahan (M40) menghadapi tekanan kos sara hidup selain pengurangan kadar cukai bagi banjaran pendapatan bercukai antara RM70,000 hingga RM100,000 daripada 19 peratus kepada 18 peratus.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.