Syarikat bumiputera perlu miliki teknologi, kuasai ekonomi

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Syarikat Bumiputera perlu membina keupayaan menguasai teknologi dan menerajui industri bernilai tinggi bagi membolehkan mereka menjadi peneraju ekonomi Malaysia menjelang 2040.

RINGKASAN BERITA AI
  • Beralih dari penyertaan ekonomi kepada pemilikan dan penguasaan aset, teknologi dan kepakaran.
  • Galakkan syarikat hasilkan produk sendiri, miliki harta intelek dan tembusi pasaran antarabangsa.
  • Institusi modal teroka seperti VentureTECH bantu skala operasi, komersialkan inovasi dan bangunkan teknologi tempatan selaras PuTERA35.
  • Fokus pada menterjemah modal kepada penguasaan ekonomi sebenar, bukan sekadar pertambahan bilangan syarikat atau penyertaan.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah berkata, matlamat itu menuntut perubahan daripada penyertaan ekonomi kepada pemilikan dan penguasaan aset, teknologi dan kepakaran, selaras dengan aspirasi membangunkan syarikat Bumiputera yang mampu bersaing di peringkat global.

Beliau berkata, pihaknya berharap lebih banyak syarikat Malaysia membangunkan produk sendiri, memiliki harta intelek dan menembusi pasaran antarabangsa.

“Syarikat Bumiputera juga perlu diberikan ruang untuk menjadi sebahagian daripada peneraju ekonomi masa hadapan ini.

“Jika kita mahu melihat syarikat Malaysia menerajui industri pada tahun 2040, kita perlu mula membina keupayaan syarikat tersebut bermula hari ini,” katanya pada Majlis Pemeteraian Perjanjian Pelaburan VentureTECH bersama Hanan Medical Sdn Bhd dan Agri Data Portal Sdn Bhd, di sini pada Selasa.

Datuk Seri Mohd Shahar berkata, Institusi modal teroka seperti VentureTECH mempunyai peranan penting untuk membantu syarikat tempatan meningkatkan skala operasi, mengkomersialkan inovasi dan membangunkan teknologi sendiri, selaras dengan agenda penyertaan, pemilikan dan penguasaan (3P) di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).

Tambahnya, Malaysia tidak boleh berpuas hati dengan penyertaan syarikat Bumiputera dalam rantaian bekalan sekiranya teknologi dan pasaran bernilai tinggi masih dikuasai pihak lain.

Sebaliknya, syarikat Bumiputera perlu beralih daripada peranan sebagai pembekal kepada pemilik teknologi, rakan strategik dan peneraju industri melalui pelaburan yang membina keupayaan penyelidikan, meningkatkan produktiviti serta memperluas akses kepada pasaran antarabangsa.

Kejayaan agenda itu bergantung pada keupayaan menterjemahkan modal kepada penguasaan ekonomi sebenar, bukan sekadar pertambahan bilangan syarikat atau penyertaan dalam aktiviti perniagaan.

Pada masa sama, beliau berkata pelaburan VentureTECH dalam Hanan Medical, yang terlibat dalam sektor kesihatan, dan Agri Data Portal, yang memanfaatkan teknologi dalam sektor pertanian, turut membuka ruang membina keupayaan tempatan dalam bidang strategik, termasuk bioteknologi, farmaseutikal dan teknologi pertanian.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.