Tiada petunjuk AS kenakan tarif semikonduktor Malaysia

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Malaysia belum menerima sebarang petunjuk bahawa Amerika Syarikat (AS) akan mengenakan tarif terhadap eksport semikonduktor negara ke pasaran itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Presiden Donald Trump mencadangkan tarif 100 peratus ke atas cip semikonduktor yang diimport ke AS.
  • Dalam rundingan Seksyen 301, hanya isu lebihan kapasiti belum dimuktamadkan daripada empat isu utama.
  • Malaysia menegaskan tiada isu alam sekitar atau subsidi; akan minta senarai negara dengan lebihan kapasiti dikeluarkan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, setakat ini, tiada makluman diterima berhubung sebarang rancangan Washington untuk mengenakan tarif terhadap produk semikonduktor Malaysia.

“Setakat ini, tiada petunjuk bahawa AS akan mengenakan sebarang tarif terhadap semikonduktor dari Malaysia,” katanya pada sidang media EU-Malaysia Business Day 2026, di sini.

Sebelum ini, Presiden Donald Trump mengumumkan cadangan mengenakan tarif 100 peratus ke atas cip semikonduktor yang diimport ke AS

Mengenai rundingan perdagangan di bawah Seksyen 301, Datuk Seri Johari berkata, hanya isu lebihan kapasiti pengeluaran masih belum dimuktamadkan daripada empat isu utama yang dibangkitkan.

Empat isu berkenaan merangkumi buruh paksa, lebihan kapasiti pengeluaran, alam sekitar dan subsidi kerajaan.

“Malaysia tidak mempunyai masalah berkaitan alam sekitar dan subsidi kerajaan kerana negara tidak memberikan subsidi kepada syarikat untuk mengeksport produk ke pasaran antarabangsa, selain sentiasa mematuhi piawaian alam sekitar yang ditetapkan negara maju,” katanya.

Jelas beliau, Malaysia juga tidak mempunyai masalah lebihan kapasiti dan sekiranya perkara itu dibangkitkan, keadaan berkenaan berkemungkinan berpunca daripada negara ketiga.

“Malaysia akan meminta senarai negara yang dikenal pasti mempunyai lebihan kapasiti bagi membolehkan negara memohon supaya negara-negara berkenaan dikeluarkan daripada senarai tersebut,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap negara mempunyai undang-undang dan keperluan tersendiri bagi membenarkan produk asing memasuki pasaran masing-masing.

“Mana-mana pasaran yang kita mahu masuki mempunyai kriteria dan undang-undang tersendiri yang perlu dipatuhi. Jika kita tidak mematuhinya, kita tidak boleh memasuki pasaran itu,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.