
KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 berpotensi meningkatkan kuasa beli rakyat dan merangsang penggunaan domestik, dengan kesan dijangka mula dirasai pada 2028.
- Kenaikan gaji minimum dijangka meningkatkan kuasa beli rakyat, menyokong perbelanjaan isi rumah dan mengurangkan kebergantungan kepada hutang serta bantuan keluarga.
- Namun kos operasi majikan meningkat termasuk caruman KWSP, PERKESO dan bayaran kerja lebih masa, memberi tekanan kepada margin keuntungan syarikat.
- Beberapa syarikat mungkin kurangkan pengambilan atau percepat automasi; automasi positif jika produktiviti meningkat dan pekerja menerima latihan semula.
Ketua Penyelidik MBSB Research, Imran Yassin Md Yusof berkata, cadangan kenaikan gaji minimum yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 hanya akan mula dilaksanakan pada Jun 2027.
Peningkatan pendapatan itu dijangka memberi manfaat khususnya kepada pekerja berpendapatan rendah, sekali gus membolehkan mereka meningkatkan perbelanjaan isi rumah bagi memenuhi keperluan asas seperti makanan, sewa, pengangkutan, penjagaan anak dan persekolahan.
“Jadi, ia akan memberi kesan positif kepada ekonomi negara. Kesan positif kedua ialah pengurangan kebergantungan kepada hutang jangka pendek atau bantuan daripada keluarga.
“Pekerja juga mungkin mempunyai ruang yang lebih besar untuk berbelanja, menyimpan dan sebagainya,” katanya dalam program Biz Malaysia.
Bagaimanapun, beliau berkata, kenaikan gaji minimum berpotensi meningkatkan kos operasi majikan dan memberi tekanan kepada margin keuntungan syarikat.
Peningkatan kos bukan sahaja melibatkan pembayaran gaji, malah turut merangkumi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta bayaran kerja lebih masa.
Menurut beliau, sektor peruncitan, makanan dan minuman, hospitaliti, pertanian serta logistik antara industri yang berpotensi paling terdedah kepada tekanan kos.
Dalam jangka pendek, sesetengah syarikat mungkin mengambil langkah mengurangkan pengambilan pekerja baharu atau mempercepat penggunaan automasi bagi mengawal peningkatan kos operasi.
Namun, perkembangan itu tidak semestinya memberi kesan negatif sekiranya penggunaan automasi dapat meningkatkan produktiviti dan disertai latihan semula pekerja.