Penangguhan gaji minimum beri manfaat kepada PMKS, belia

Pensyarah Jabatan Ekonomi dan Perkhidmatan Kewangan UiTM, Profesor Dr Amirul Afif Muhamat

KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Kelonggaran dan penangguhan pelaksanaan gaji minimum bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) memberi ruang kepada sektor berkenaan untuk mengekalkan peluang pekerjaan, khususnya kepada golongan belia.

RINGKASAN BERITA AI
  • PMKS boleh menilai semula model perniagaan untuk memenuhi keperluan gaji minimum tanpa menjejaskan pengambilan pekerja baharu.
  • Pengambilan belia penting untuk memenuhi keperluan industri berkembang, terutamanya dalam kecerdasan buatan dan teknologi digital.
  • Kemahiran digital belia perlu dimanfaatkan bagi automasi dan memperkukuh strategi pemasaran digital PMKS.
  • Belia dinasihat tidak bergantung semata pada bantuan kerajaan, sebaliknya tingkatkan kemahiran untuk kekal relevan dengan industri.

Pensyarah Jabatan Ekonomi dan Perkhidmatan Kewangan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Dr Amirul Afif Muhamat berkata, langkah itu membolehkan PMKS menilai semula model perniagaan masing-masing tanpa menjejaskan keupayaan mengambil pekerja baharu.

“Pada masa sama, mereka boleh menilai semula model perniagaan bagi memastikan keperluan gaji minimum dapat dipenuhi pada masa hadapan, selain meneruskan pengambilan pekerja seperti biasa.

“Perkara ini penting kerana golongan belia merupakan sebahagian daripada tenaga kerja yang bakal memacu ekonomi negara,” katanya ketika ditemui selepas program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.

Menurut beliau, pengambilan pekerja dalam kalangan belia penting bagi memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital.

Kemahiran digital yang dimiliki golongan itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperluas penggunaan automasi serta memperkukuh strategi pemasaran digital dalam kalangan PMKS.

“Ini adalah kemahiran yang belia boleh gunakan untuk memasarkan dan memperkenalkan produk mereka, seterusnya menembusi bukan sahaja pasaran tempatan, tetapi juga pasaran luar negara.

“Saya kira itu antara aspek yang perlu diberikan perhatian oleh golongan belia,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan golongan belia supaya tidak hanya bergantung pada peluang dan bantuan yang disediakan kerajaan, sebaliknya mengambil inisiatif meningkatkan kemahiran diri agar kekal relevan dengan keperluan industri semasa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.