Semua sekolah di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan ditutup pada Rabu

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Semua sekolah di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan ditutup pada Rabu susulan situasi jerebu yang melanda negara ketika ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penutupan turut melibatkan kawasan di Selangor (PPD Hulu Langat, Sepang), Pahang (Kuantan, Pekan, Rompin), Sabah (Tawau) dan Sarawak (Serian, Sri Aman, Lubok Antu).
  • Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah dilaksanakan, manakala guru dan anggota pelaksana dibenarkan bekerja dari rumah.
  • Portal APIMS JAS merekodkan 21 kawasan tidak sihat, 45 sederhana dan dua baik; Johor catat bacaan tertinggi.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, penutupan itu turut melibatkan empat lagi negeri di beberapa kawasan.

“Selangor melibatkan sekolah di kawasan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat dan Sepang. Manakala, Pahang di PPD Kuantan, Pekan serta Rompin.

“Seterusnya, Sabah di PPD Tawau serta Sarawak di PPD Serian, Sri Aman dan Lubok Antu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Datuk Seri Fadhlina berkata, sepanjang tempoh penutupan berkenaan, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan selain, guru-guru serta Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) dibenarkan Bekerja Dari Rumah (BDR).

Sementara itu, sesi persekolahan di semua negeri dan daerah lain yang tidak tersenarai akan beroperasi seperti biasa.

Terdahulu, data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS) merekodkan sebanyak 21 kawasan di seluruh negara pada bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat setakat 2 petang.

Johor merekodkan lokasi terjejas paling banyak iaitu lapan kawasan didahului Pasir Gudang dengan bacaan tertinggi 178, selain beberapa kawasan lain di Sarawak, Melaka, Pahang, Negeri Sembilan, Sabah.

Sementara itu, sebanyak 45 kawasan lagi mencatatkan bacaan IPU pada tahap sederhana manakala dua kawasan berada pada tahap baik.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.