
Fuziah Salleh
KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan kajian bagi merangka perundangan khusus untuk membendung aktiviti ‘ulat tiket’.
- Tiada peruntukan undang-undang khusus; pertimbangkan kuasa di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 untuk mewujudkan peraturan.
- Kajian merangkumi penelitian Seksyen 15(1) Akta 723 bagi mengenal pasti ruang perundangan dan kaedah kawal selia aktiviti ulat tiket.
- Perhalusi cabaran penguatkuasaan dan libat urus dengan penganjur untuk pelaksanaan berkesan; advokasi pengguna dan penjualan tiket lebih telus dijangka dilaksanakan tahun hadapan.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata langkah tersebut penting bagi melindungi pengguna dari kegiatan penjualan tiket pada harga jauh lebih tinggi dari harga asal yang membebankan pengguna serta mendedahkan mereka kepada risiko penipuan.
“Ketika ini, tiada peruntukan khusus undang-undang berkaitan isu ulat tiket ini. Namun, KPDN giat menjalankan libat urus dengan penganjur program serta melaksana kajian dengan tujuan mewujudkan satu kerangka undang-undang.
“Di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723], terdapat punca kuasa yang boleh dipertimbangkan bagi membolehkan Menteri dan kementerian mewujudkan mekanisme berbentuk peraturan untuk membendung aktiviti ulat tiket secara lebih berkesan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata kajian itu akan merangkumi penelitian terhadap Seksyen 15(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi mengenal pasti ruang perundangan yang boleh dimanfaatkan untuk membangunkan kerangka kawal selia berhubung aktiviti berkenaan.
“Cabaran penguatkuasaan turut diperhalusi supaya peraturan yang bakal diwujudkan bukan sahaja dapat dilaksanakan secara berkesan, malah mengambil kira ciri transaksi tiket yang berbeza khususnya bagi acara yang berlangsung sekali sahaja,” katanya.
Kajian tersebut dijangka dimuktamadkan untuk dibawa ke peringkat pelaksanaan pada tahun hadapan.
Sementara itu, KPDN juga akan terus mempergiat advokasi pengguna dan mengadakan libat urus dengan penganjur acara bagi menggalakkan amalan penjualan tiket yang lebih telus, termasuk penyampaian maklumat terma dan syarat pembelian yang jelas kepada pengguna.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan wakil Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa mengenai kajian yang dilaksanakan untuk menggubal undang-undang khusus bagi menangani kegiatan ‘ulat tiket’ di Dewan Rakyat.