
KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan sistem Internet Pelbagai Benda (IoT) akan diperluas dalam setiap fasa pengurusan serta penyelenggaraan rangkaian jalan raya seluruh negara.
- Pendigitalan penting untuk memperkasa infrastruktur jalan sedia ada agar berkualiti, mampan dan berdaya tahan serta mengekalkan kelestarian.
- 13th MRC dan 6th IRF menghimpunkan hampir 1,000 pemain industri, 118 kertas teknikal dan 112 pempamer bagi mempamerkan inovasi kejuruteraan jalan.
- KKR memberi keutamaan menyiapkan lebuh raya utama bawah RMK13 seperti Pan Borneo, Sarawak-Sabah Link Road, KBKK dan LTU menjelang 2030.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah pendigitalan itu merangkumi semua peringkat jaringan jalan termasuk Jalan Persekutuan serta jalan negeri.
Tambahnya, peralihan berkenaan penting bagi memperkasa infrastruktur sedia ada yang lebih berkualiti, mampan, dan berdaya tahan selain mengekalkan kelestarian selaras dengan kepesatan teknologi.
“Kita sedia maklum dalam era digital ini AI, IoT dan sebagainya, kita tidak boleh tidak bersama dalam perkara penggunaan teknologi ,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan perasmian serentak Persidangan Jalan Se-Malaysia Ke-13 (13th MRC) dan Kongres Jalan Asia Pasifik Ke-6 (6th IRF) di sini pada Selasa.
Mengangkat tema “Transforming the Nation through Future-Ready Roads”, persidangan dwi-tahunan anjuran Pertubuhan Kejuruteraan Jalan Malaysia (REAM) itu berjaya menghimpunkan hampir 1,000 pemain industri, pakar kejuruteraan dan vendor profesional dari dalam serta luar negara.
Sebanyak 118 kertas kerja teknikal akan dibentang di samping terdapat 112 pempamer tempatan dan luar negara bagi mengetengahkan teknologi dan inovasi terkini dalam kejuruteraan jalan raya.
Menerusi persidangan kali ini, KKR turut memberi peluang kepada pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta mahasiswa bagi menimba ilmu dalam bidang kejuruteraan jalan.
“Setiap tahun ramailah mereka yang dikatakan masuk ke pasaran, masuk ke industri sebagai orang muda.Jadi kita perlu juga fokuskan kepada mereka,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau turut menyentuh tentang fokus dan keutamaan KKR untuk menyiapkan baki rangkaian jalan raya utama negara bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Ia meliputi Lebuhraya Pan Borneo, Sarawak-Sabah Link Road, Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) dan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) menjelang tahun 2030.