
KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Cadangan menaik taraf Jalan Persekutuan FT136 dari Serdang hingga ke Kulim kepada empat lorong sedang diteliti.
- Penelitian projek mengambil kira penilaian impak alam sekitar (EIA), impak sosial (SIA) dan impak trafik (TIA).
- Proses pelantikan perunding dan pengambilan balik tanah dijalankan untuk permohonan peruntukan RP2 RMK13 kepada Kementerian Ekonomi.
- Punca kerosakan struktur jalan dikenal pasti melibatkan pergerakan kenderaan, keadaan cuaca dan jenis bahan turapan.
- Dicadangkan meneliti penggunaan bahan turapan khas seperti special mix untuk meningkatkan ketahanan dan kualiti jalan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan memaklumkan penelitian berkenaan mengambil kira beberapa aspek termasuk penilaian impak alam sekitar (EIA), penilaian impak sosial (SIA) dan penilaian impak trafik (TIA).
“Pada masa yang sama, kita juga sedang melaksanakan proses pelantikan perunding dan pengambilan balik tanah bagi membolehkan permohonan peruntukan di bawah Rolling Plan 2 (RP2), Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan dikemukakan wakil Kulim Bandar Baharu, Roslan Hashim mengenai status naik taraf FT136 dari dua lorong kepada empat lorong di Dewan Rakyat.
Dalam sesi sama, Roslan turut meminta penjelasan mengenai punca struktur jalan yang kerap kali rosak meskipun kerja-kerja penyelenggaraan telah dijalankan.
Datuk Seri Dr Ahmad Maslan menjelaskan, antara faktor yang berkemungkinan menyumbang kepada kerosakan itu termasuk pergerakan kenderaan, keadaan cuaca dan jenis bahan turapan.
Beliau turut mencadangkan agar diteliti kesesuaian penggunaan bahan turapan khas, termasuk ‘special mix’, bagi meningkatkan ketahanan dan kualiti turapan jalan.