Penetapan gaji minimum: Bukti kebajikan golongan pekerja terbela

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Golongan belia menyambut baik penetapan gaji minimum kepada RM2,000 sebulan menerusi Belanjawan 2027 yang dilihat berpotensi membantu mereka berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penetapan gaji minimum membuktikan kebajikan dan pembelaan terhadap golongan pekerja muda.
  • Langkah itu membantu kestabilan kewangan, membina simpanan dan mengurangkan tekanan perbelanjaan harian.
  • Ia juga menyuntik motivasi melanjutkan pelajaran serta meningkatkan peluang mendapatkan gaji yang setimpal dengan kemahiran.

Halimey Nor Zamal, 24 tahun berkata, langkah itu membuktikan kebajikan serta nasib golongan pekerja muda terus mendapat perhatian dan pembelaan.

“Saya berharap kenaikan gaji ini dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan dengan bayaran yang setimpal mengikut kelayakan dan kemahiran yang mereka ada.

“Kenaikan ini dapat membantu belia mencapai kestabilan kewangan, membina simpanan, dan merancang masa depan yang lebih selesa tanpa adanya tekanan kewangan yang berlebihan,” katanya kepada RTM.

Bagi Yasmin Izara Budiman Hemedy, 23 tahun pula, peningkatan gaji minimum sebanyak RM300 itu antara inisiatif yang dinantikan terutamanya individu yang mahu mulakan kerjaya.

“Saya rasa inisiatif gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 menerusi Belanjawan 2027 satu perkara yang dekat dengan kami, terutamanya kepada individu yang baru nak mulakan kerjaya.

“Peningkatan sebanyak RM300 sangat bermakna bagi kami untuk menampung perbelanjaan harian seperti keperluan dapur, komitmen bulanan dan kos pengangkutan,” kata Yasmin Izara kepada RTM.

Sementara itu, Muhammad Syafiq Hamdan, 29 tahun berharap pendekatan itu dapat menyuntik semangat golongan muda untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sekali gus meningkatkan peluang memperoleh gaji yang setimpal dengan kelayakan mereka.

“Usaha ini juga akan memberi suntikan semangat kepada golongan muda, terutamanya lepasan SPM untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi kerana mereka melihat terdapat peluang yang lebih baik dan masa depan yang lebih terjamin untuk mereka,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.