Fahmi cadang inisiatif nasional pelihara ucapan bersejarah pemimpin

Datuk Seri Fahmi Fadzil/ RTM

KUALA LUMPUR, 13 Oktober- Buku berjudul “Great Wisdom of the First Malaysians” yang menghimpunkan lebih 100 ucapan tokoh terdahulu daripada koleksi asal wartawan perintis J. Victor Morais diterbitkan semula bagi memelihara pemikiran dan aspirasi pemimpin pengasas Malaysia untuk rujukan generasi akan datang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fahmi tekankan penerbitan semula penting untuk memelihara warisan sejarah dan menghargai sumbangan intelektual pemimpin terdahulu.
  • Beliau menyeru penyampaian sejarah secara kreatif melalui media sosial untuk mendekatkan generasi muda dan memupuk perpaduan nasional.
  • Cadangan mengumpul dana bagi mencetak semula 2,000 naskhah dan memperluas edaran, termasuk edaran khas di Parlimen dan mesyuarat Kabinet.
  • Penerbit dan pihak berkaitan perlu bersetuju dahulu; penggiat media memuji usaha kerana kandungan buku berharga untuk penyelidikan sejarah.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata penerbitan semula koleksi ucapan itu merupakan usaha penting untuk memelihara warisan sejarah negara dan memastikan sumbangan intelektual pemimpin terdahulu terus dihargai.

Beliau turut menekankan kepentingan menyampaikan sejarah secara kreatif menerusi platform media sosial bagi mendekatkan generasi muda dengan sejarah negara serta memupuk perpaduan dan keharmonian nasional.

Datuk Seri Fahmi mencadangkan usaha mengumpul dana bagi mencetak semula 2,000 naskhah buku berkenaan, selain memperluas pengedarannya kerana buku itu tidak dijual kepada umum.

“Buku tersebut dicadang untuk edaran sempena penganjuran program khas di Parlimen dengan kerjasama Yang di-Pertua Dewan Rakyat termasuk mempertimbang kesesuaian bersempena Istiadat Pembukaan Parlimen (Titah Diraja) tahun hadapan.

“Buku tersebut juga dicadangkan untuk diedar kepada semua ahli Jemaah Menteri semasa mesyuarat Kabinet yang dijadualkan pada Jumaat,” katanya pada majlis pelancaran rasmi buku “Great Wisdom of the First Malaysians – A Reprint of Selected Speeches by Pioneering Journalist J. Victor Morais” anjuran Daily Express Sabah di sini, hari ini.

Namun jelas Datuk Seri Fahmi, cadangan mencetak semula 2,000 naskhah tambahan itu tertakluk kepada persetujuan pihak yang terlibat dalam penerbitan buku berkenaan.

Turut hadir Ketua Pengarang Daily Express, Datuk Sardahthisa James, yang juga dikenali sebagai James Sarda, serta Benedict Morais, anak kepada mendiang J. Victor Morais.

Sementara itu, James merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Fahmi atas cadangan mencetak semula buku berkenaan bagi memperluas penyebaran pemikiran pemimpin terdahulu kepada masyarakat.

“Terima kasih kepada Datuk Seri Fahmi. Saya melihat beliau sebagai seorang pemimpin yang meletakkan kepentingan Malaysia di hati.

“Beliau memahami bahawa hala tuju masa depan negara bergantung pada keupayaan kita memastikan generasi muda memahami asas pembentukan Malaysia, menghormati antara satu sama lain serta menghargai kepelbagaian yang menjadi kekuatan negara,” katanya.

James berkata beliau bekerjasama dengan Benedict untuk menerbitkan semula buku itu, yang pada asalnya diterbitkan pada 1967 dengan judul “Selected Speeches”.

Beliau berkata koleksi itu turut memuatkan ucapan pemimpin seperti Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak, sekali gus menjadi sumber rujukan bagi memahami aspirasi serta cabaran yang dihadapi ketika pembinaan negara.

“Bagi wartawan seperti saya, usaha mencari ucapan yang disampaikan oleh Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak di Parlimen bukanlah sesuatu yang mudah, kerana sistem penyimpanan rekod pada masa itu adalah berbeza dan akses kepada rekod parlimen melibatkan pelbagai protokol.

“Buku ini ibarat lombong emas untuk penyelidikan. Ia menjadi pusat sehenti yang menghimpunkan ucapan pemimpin dari pelbagai latar belakang berserta harapan mereka untuk Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Sementara itu, Benedict berkata beliau berbangga dengan usaha bapanya mendokumentasikan ucapan dan pemikiran tokoh terdahulu.

Beliau turut berkongsi pengalaman menyaksikan pengisytiharan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka ketika berusia 12 tahun, bersama kira-kira 25,000 orang.

Mengimbau suasana ketika itu, Benedict berkata semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat terjalin secara semula jadi tanpa mengira kaum.

“Perpaduan itu bukan sesuatu yang perlu diajar kepada kami. Kami memilikinya secara semula jadi,” katanya.

Buku setebal 494 halaman itu diterbitkan semula daripada koleksi asal “Selected Speeches” yang diterbitkan pada 1967 dan menghimpunkan lebih 100 ucapan tokoh terdahulu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.