Jabatan Tenaga Manusia perkasa kemahiran lebih 74,000 pekerja

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan

KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Seramai 74,332 peserta mengikuti program anjuran Jabatan Tenaga Manusia (JTM) sehingga 31 Ogos lalu, sebagai usaha memperkukuh kesiapsiagaan tenaga kerja dalam mendepani perubahan landskap pekerjaan susulan perkembangan automasi dan kecerdasan buatan (AI).

RINGKASAN BERITA AI
  • JTM menyediakan kursus jangka pendek, modular dan latihan tersuai serta memperkukuh kurikulum dengan kemahiran AI, IoT, automasi, dron, teknologi hijau, EV, hidrogen dan keusahawanan.
  • PERKESO melalui Skim LINDUNG Kerjaya dan HRD Corp membiayai yuran serta elaun latihan; had pembiayaan dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM7,000 mulai 1 Oktober 2026.
  • Program Jelajah AI MyMahir dan JAMx memberi manfaat kepada 7,971 peserta; contoh Farm Fresh: pelaburan AI RM14 juta kurangkan aduan pelanggan 30%.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, pelbagai inisiatif dilaksanakan menerusi jabatan dan agensi di bawah kementerian itu, khususnya bagi membantu pekerja berkemahiran rendah dan sederhana menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi.

“JTM menyediakan kursus jangka pendek, modular dan latihan tersuai mengikut keperluan industri, selain memperkukuh kurikulum dengan penerapan kemahiran teknologi baharu.

“Antaranya merangkumi kecerdasan buatan (AI), Internet Benda (IoT), sistem automasi, teknologi dron, teknologi hijau, kenderaan elektrik (EV), teknologi hidrogen dan keusahawanan,” katanya.

Dalam pada itu, majikan berdaftar dengan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) boleh memanfaatkan levi bagi membiayai program peningkatan kemahiran, latihan semula dan kemahiran silang pekerja.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan dikemukakan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad, di Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Khairul berkata, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) turut menyediakan pembiayaan yuran dan elaun latihan menerusi Skim LINDUNG Kerjaya bagi membantu pekerja memperoleh kemahiran baharu serta meningkatkan kebolehpasaran mereka.

Mulai 1 Oktober 2026, had maksimum pembiayaan yuran latihan di bawah skim berkenaan dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM7,000.

Sementara itu, program Jelajah AI MyMahir (JAM) dan JAMx kendalian Talent Corporation Malaysia Berhad turut memberi manfaat kepada lebih 7,971 peserta menerusi pendedahan praktikal penggunaan AI bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan kerja.

“Sebagai contoh, syarikat Farm Fresh Berhad menggunakan teknologi AI untuk memantau tarikh luput produk, menerusi pelaburan dianggarkan RM14 juta.

“Inisiatif itu berjaya mengurangkan aduan pelanggan sebanyak 30 peratus, sekali gus memperlihatkan potensi penggunaan teknologi dalam meningkatkan kecekapan operasi serta kepentingan latihan berterusan bagi membantu tenaga kerja menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.