Jerebu: Pemantauan IPU berterusan penting lindungi pelajar

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Trend peningkatan Indeks Pencemar Udara (IPU) menghampiri paras 200 perlu dipantau rapi bagi membolehkan pihak sekolah dan agensi berkaitan membuat persediaan awal sekiranya penutupan sekolah diperlukan susulan jerebu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemantauan IPU berterusan diperlukan kerana bacaan tunggal hanya mencerminkan lokasi dan masa tertentu.
  • Tindakan sekolah dan agensi harus berdasarkan trend dan prosedur PTJK untuk persediaan penutupan serta perlindungan pelajar.
  • Orang ramai mesti rujuk saluran rasmi JAS dan KPM serta ikut arahan untuk melindungi pelajar daripada pendedahan pencemaran udara.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkata, pemantauan berterusan penting kerana satu bacaan IPU hanya menggambarkan keadaan kualiti udara di lokasi dan tempoh tertentu, sedangkan situasi jerebu boleh berubah dalam masa singkat bergantung pada sumber pencemaran, pergerakan angin dan keadaan cuaca.

Menurut JAS, peningkatan bacaan IPU daripada 180 kepada 190, misalnya, menunjukkan tahap pencemaran semakin menghampiri paras tindakan yang ditetapkan, sekali gus memerlukan pemantauan lebih rapi dan persediaan sewajarnya mengikut prosedur dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK).

“Dalam konteks keselamatan pelajar, trend peningkatan IPU menghampiri paras 200 perlu diberi perhatian bagi membolehkan pihak sekolah dan agensi berkaitan membuat persediaan awal sekiranya penutupan sekolah diperlukan,” menurut JAS.

JAS memaklumkan mekanisme dalam PTJK turut mengambil kira trend bacaan IPU dan masa bacaan direkodkan dalam menentukan syor tindakan supaya keputusan dibuat berdasarkan perkembangan situasi semasa, bukan hanya satu bacaan pada waktu tertentu.

Pada masa sama, penurunan IPU juga perlu dipantau bagi memastikan peningkatan kualiti udara itu berterusan dan bukan sekadar perubahan sementara.

JAS turut menyarankan orang ramai, khususnya ibu bapa dan pihak sekolah, mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi jabatan itu dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), selain mematuhi arahan pihak berkuasa.

“Pendekatan pemantauan berterusan itu penting bagi memastikan tindakan perlindungan dapat dilaksanakan tepat pada masanya, sekali gus mengurangkan risiko pendedahan pelajar kepada udara tercemar,” menurut JAS.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.