
KUALA TERENGGANU, 4 Oktober – Seramai 18,000 peserta dari dalam dan luar negara dijangka menyertai ‘Terengganu International Scout Jamboree (TIJ100)’ sempena sambutan 100 Tahun Pengakap Negeri Terengganu, Disember ini.
- Program lima hari, 17 hingga 21 Disember 2026 di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail; menghimpunkan lebih 13,000 peserta antarabangsa.
- Mengumpulkan negara serantau seperti Thailand, Indonesia, Brunei, Filipina, Timor-Leste dan Myanmar.
- Dijangka menerima lebih 5,000 pelawat dan memberi limpahan ekonomi serta memperkukuh kemahiran dan kepimpinan generasi muda.
Program yang berlangsung selama lima hari, bermula 17 hingga 21 Disember 2026 di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, turut menghimpunkan lebih 13,000 peserta antarabangsa.
Antara negara yang dijangka mengambil bahagian ialah Thailand, Indonesia, Brunei Darussalam, Filipina, Timor-Leste dan Myanmar, selain beberapa negara lain.
Acara itu turut dijangka menerima kunjungan lebih 5,000 pelawat, termasuk ibu bapa, bekas pengakap, pemimpin masyarakat serta pelawat dari dalam dan luar negara.
Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Terengganu, Dr. Shahrul Azwan Mohamad@Endut, berkata TIJ100 bukan sekadar meraikan satu abad gerakan Pengakap di Terengganu, malah menjadi platform memperkukuh persaudaraan, kemahiran serta kepimpinan generasi muda di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, penglibatan pengakap dari pelbagai negara itu sekali gus menjadikan TIJ100 antara jambori terbesar yang pernah dianjurkan di Terengganu.
Dalam pada itu, maskot rasmi TJ100 dan ‘callsign’ khas TJ100 turut dilancarkan pada Majlis Hi-Tea dan Media Preview TJ100 di Kuala Terengganu, hari ini.
Majlis berkenaan turut disempurnakan Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Kamsah @ Kamal Mohamed.
TIJ100 dijangka menjadi antara acara pengakap bertaraf antarabangsa terbesar di Terengganu, selain memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat khususnya sepanjang tempoh penganjuran.