
SEPANG, 4 Oktober – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meninjau ruangan G Hillstand yang menempatkan sebahagian besar pemegang Tiket MADANI, sambil menyantuni peminat Perlumbaan Grand Prix (GP) Bahrain Formula 1 (F1) di Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.
- Karnival Litar Rasa MADANI menghimpunkan kira-kira 40 peniaga tempatan, menawarkan pelbagai makanan dan minuman kepada pengunjung.
- Tiket MADANI untuk pemegang MyKad ditawarkan serendah RM200 untuk akses tiga hari, G Hillstand kategori paling rendah.
- Perjanjian antara Formula 1, FIA serta kerajaan Malaysia dan Bahrain mengekalkan GP Bahrain dalam kalendar F1 2026.
Tinjauan itu turut memberi peluang kepada Perdana Menteri melihat suasana Karnival Litar Rasa MADANI yang menghimpunkan kira-kira 40 peniaga tempatan menawarkan pelbagai makanan dan minuman kepada pengunjung.
“Suasana di kawasan berkenaan meriah dengan pemandangan litar yang menarik, selain memberi peluang kepada pengunjung menikmati makanan sambil menyaksikan perlumbaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta semua agensi yang terlibat dalam menjayakan karnival berkenaan.

Katanya, penganjuran karnival itu sekali gus memastikan kemeriahan F1 turut memberi limpahan rezeki kepada peniaga tempatan.
Tiket MADANI bagi pemegang MyKad ditawarkan serendah RM200 untuk akses sepanjang tiga hari perlumbaan, dengan G Hillstand menjadi kategori paling rendah.
Pada bulan Julai, Formula 1 mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah GP Gulf Air Bahrain dari 2 hingga 4 Okt, susulan perjanjian antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.

Perjanjian itu berjaya mengekalkan GP Bahrain di dalam kalendar F1 2026 selepas perlumbaan tersebut dibatalkan pada awal musim ini akibat ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Malaysia pernah menjadi tuan rumah GP Malaysia di SIC dari tahun 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1.
