Kerjasama pelbagai pihak kunci tangani diskriminasi

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Kerjasama antara kerajaan, pemimpin pelbagai agama dan masyarakat akan terus diperkukuh bagi menangani diskriminasi serta penyebaran kebencian yang boleh menggugat keharmonian negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Libat urus berterusan dengan pemimpin pelbagai agama untuk membincangkan isu yang boleh mencetuskan ketegangan.
  • Kementerian Perpaduan bekerjasama dengan komunikasi, digital dan dalam negeri memantau aktiviti menjejaskan keharmonian masyarakat.
  • Orang ramai diseru melaporkan kandungan media sosial yang berpotensi mencetuskan ketegangan atau diskriminasi.
  • Pemimpin politik diminta utamakan perbahasan berdasar dasar dan elak eksploitasi sentimen perkauman demi keharmonian.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R. Yuneswaran berkata usaha itu merangkumi sesi libat urus bersama pihak berkepentingan, termasuk pemimpin agama bagi membincangkan isu yang berpotensi mencetuskan ketegangan dalam masyarakat berbilang kaum.

Beliau berkata Kementerian Perpaduan Negara turut bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi, Kementerian Digital dan Kementerian Dalam Negeri dalam memantau aktiviti yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Kita turut mengadakan beberapa sesi libat urus bersama pihak berkepentingan lain, termasuk di peringkat Jabatan Perdana Menteri.

“Saya sendiri telah menganjurkan satu pertemuan bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), yang menghimpunkan pemimpin pelbagai agama, termasuk Kristian, Hindu, Buddha, Baha’i dan Taoisme. Libat urus bersama pemimpin agama ini akan diteruskan bagi membincangkan perkara berkenaan.

Beliau berucap pada Persidangan Kebangsaan Ke-13 Mengenai Tanpa Diskriminasi, bersempena ulang tahun ke-25 Deklarasi dan Program Tindakan Durban (DDPA), di sini, hari ini.

Yuneswaran turut menyeru orang ramai melaporkan kandungan media sosial yang boleh mencetuskan ketegangan atau menimbulkan isu diskriminasi supaya perkara itu dapat ditangani sebelum menjadi lebih serius.

“Saya ingin menyeru semua pihak agar melaporkan sebarang kandungan di media sosial yang boleh mencetuskan ketegangan atau menimbulkan isu diskriminasi. Sesuatu isu yang bermula secara kecil-kecilan boleh berkembang menjadi lebih serius sekiranya tidak ditangani pada peringkat awal,” katanya.

Tambah beliau, pemimpin politik juga perlu mengutamakan perbahasan berteraskan dasar dan mengelakkan eksploitasi sentimen perkauman demi kepentingan politik, dengan mengambil kira kesan setiap kenyataan terhadap keharmonian masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.