
KLANG, 13 Oktober – Kerajaan Negeri Selangor yakin mampu mencapai sasaran penyediaan 200,000 unit Rumah Selangorku menjelang 2028 bagi memastikan lebih ramai rakyat memiliki kediaman sendiri pada harga mampu milik.
- Setakat ini 57,000 unit diserahkan dan 34,000 lagi sedang dibina.
- Kos pembinaan meningkat 25 hingga 40 peratus akibat konflik Asia Barat, kekurangan bekalan dan kenaikan kos bahan api.
- Kerajaan negeri dan Lembaga Perumahan memantau, meneliti kesediaan pemaju dan memperkemas pelaksanaan untuk penuhi jadual penyerahan 2026.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setakat ini, 57,000 unit telah siap dan diserahkan kepada pemilik, manakala 34,000 unit lagi sedang dalam pembinaan.
Bagaimanapun, peningkatan kos bahan api dan bahan mentah susulan konflik di Asia Barat, termasuk ketegangan di Selat Hormuz, menjadi antara cabaran yang boleh menjejaskan pelaksanaan projek perumahan berkenaan.
“Mengikut trend semasa, saya yakin kita boleh menyiapkan sekurang-kurangnya projek yang sedang dalam pembinaan. Bagaimanapun, kita perlu memperkemas pelaksanaan, khususnya bagi memastikan projek yang dijadualkan siap pada 2026 dapat diserahkan mengikut perancangan.
“Dalam keadaan semasa, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor akan meneliti tahap kesediaan pemaju-pemaju.
“Cabaran besar kita tahun ini ialah konflik yang berlaku di Asia Barat, yang telah meningkatkan kos bahan api dan seterusnya memberi kesan kepada kos pembinaan, termasuk kerja-kerja awal seperti kerja tanah.
“Kita memantau keadaan ini dengan teliti. Bekalan bahan api kini telah kembali pulih dan kita berharap keadaan ini dapat membantu menangani kelewatan yang berlaku akibat faktor berkenaan.
“Secara asasnya, kos pembinaan meningkat antara 25 hingga 40 peratus susulan konflik, kekurangan bekalan dan kenaikan kos bahan api. Saya percaya keadaan ini dapat ditangani dan kembali pulih dalam masa terdekat sekiranya ketegangan di Asia Barat semakin reda,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Malam Aspirasi Perumahan 2026 bersempena Simposium Perumahan Negeri-Negeri Se-Malaysia, di sini.