
LUMUT, 13 Oktober – Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) Kelas C bersama lima kru warga Myanmar ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak selepas disyaki melanggar syarat lesen dan melakukan kesalahan imigresen di perairan negeri itu, Sabtu lepas.
- Vesel ditahan kira-kira 8.6 batu nautika barat daya Pulau Buluh pada jam 5 petang semasa operasi penguatkuasaan.
- Tekong serta dua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan sah; dua kru lain mengemukakan dokumen diragui.
- Vesel disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan melanggar syarat lesen Akta Perikanan 1985.
- Kesemua kru ditahan untuk siasatan; vesel, hasil tangkapan dan peralatan dirampas dibawa ke Jeti Maritim.
Pengarah Maritim Malaysia Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata vesel berkenaan ditahan kira-kira 8.6 batu nautika barat daya Pulau Buluh pada 5 petang ketika aset agensi itu menjalankan operasi penguatkuasaan.
Pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan lima kru warga Myanmar, termasuk tekong, berusia antara 26 hingga 56 tahun.
Beliau berkata vesel itu mempunyai lesen yang sah, namun tekong bersama dua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, manakala dua kru lain mengemukakan dokumen yang diragui kesahihannya.
Vesel berkenaan disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta melanggar syarat lesen di bawah Akta Perikanan 1985.
Pemeriksaan turut menemukan hasil tangkapan ikan seberat kira-kira 250 kilogram di atas vesel itu.
Kesemua kru ditahan bagi membantu siasatan, manakala vesel, hasil tangkapan dan peralatan menangkap ikan dirampas sebelum dibawa ke Jeti Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.