
SHAH ALAM 13 Oktober – Seorang lelaki berusia 20-an yang disyaki terbabit melakukan amalan atau ritual agama bukan Islam ditahan pada tengah hari tadi bagi membantu siasatan.
- JAIS mengesahkan penahanan seorang lelaki bersama ibunya.
- Penahanan dilaksanakan JAWI menerusi waran tangkap bersaling dikeluarkan Mahkamah Rendah Shah Alam.
- Suspek disiasat mengikut Seksyen 4 dan 10 Enakmen Jenayah Syariah; JAIS akan memanggil sekurang-kurangnya 14 orang dan pinta orang ramai tidak berspekulasi.
Penahanan lelaki itu bersama ibunya berusia 50-an disahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Pengarah JAIS, Datuk Shahzihan Ahmad berkata, penahanan kedua-dua sekeluarga itu dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menerusi waran tangkap bersaling yang dikeluarkan Mahkamah Rendah Shah Alam.
“Kedua-dua suspek kini disiasat JAIS mengikut Seksyen 4 dan 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
“JAIS dijangka akan memanggil sekurang-kurangnya 14 individu lain bagi membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, JAIS memandang serius perkara ini selain setiap tindakan akan diambil mengikut bidang kuasa dan peruntukan undang-undang.
Sehubungan itu, orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa melengkapkan siasatan.