Warga emas ditemukan maut dipercayai lemas ketika menjala ikan di Kota Belud

Foto RTM

KOTA BELUD, 13 Oktober -Seorang lelaki warga emas berusia 70 tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai lemas ketika menjalankan aktiviti menjala ikan di
Kampung Rajunah, disini awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Panggilan kecemasan diterima dari polis pada jam 10.54 malam berhubung kehilangan mangsa.
  • Lapan anggota bomba dan dua jentera, termasuk jentera FRT dan EMRS, digerakkan ke lokasi kira-kira 12 kilometer.
  • Operasi Surface Search dijalankan tetapi diganggu kegelapan; operasi ditangguhkan pada 12.20 tengah malam dan disambung pagi.
  • Mangsa ditemukan orang awam pada 7.30 pagi dengan jala tersangkut pada badan, disahkan meninggal oleh KKM dan mayat diserahkan kepada PDRM.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada polis pada jam 10.54 malam, semalam berhubung kehilangan mangsa.

Menurutnya, mangsa dipercayai keluar dari rumah pada kira-kira jam 5.30 petang semalam (Isnin) dengan membawa jala ikan menuju ke sungai.

Seramai lapan anggota bomba bersama dua jentera, iaitu sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS, digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 12 kilometer dari balai.

“Pasukan bomba yang tiba di lokasi pada pukul 11.07 malam menjalankan operasi pencarian menggunakan teknik Surface Search di kawasan tebing sungai.

“Bagaimanapun, keadaan gelap menyukarkan usaha pencarian sebelum operasi ditangguhkan pada 12.20 tengah malam dan disambung semula pada pagi ini”, menurut kenyataan.

Mangsa akhirnya ditemukan oleh orang awam pada pukul 7.30 pagi tadi dengan jala ikan tersangkut pada badannya.

Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan, KKM, di lokasi kejadian sebelum mayat diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan lanjut.

Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada 8.45 pagi pagi tadi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.