
KUALA LUMPUR, 13 Oktober- Pelarian yang memasuki Malaysia selepas Januari 2023 tidak akan dipertimbangkan untuk menerima Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP), tegas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
- Menteri menjawab soalan tambahan mengenai langkah mengelakkan sindiket mengambil kesempatan terhadap pelaksanaan DPP.
- Kerajaan menyasarkan pendaftaran kira-kira 6,000 pelarian termasuk pelarian warga Myanmar tahun ini.
- Sasaran merangkumi 4,010 individu di depoh tahanan imigresen; selebihnya pelarian di luar depoh.
- Pendataan melibatkan maklumat peribadi, biometrik dan saringan keselamatan oleh PDRM dan JIM untuk data credible.
Beliau berkata ketetapan itu bagi mengelakkan pelaksanaan DPP menjadi faktor penarik kemasukan pelarian baharu ke negara ini.
“Pendaftaran di bawah DPP hanya dipertimbangkan bagi pelarian yang memasuki negara ini sebelum atau sehingga Januari 2023. Mereka yang tiba selepas tempoh itu tidak akan dipertimbangkan untuk pendaftaran,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin mengenai langkah kerajaan mengelakkan sindiket mengambil kesempatan terhadap pelaksanaan DPP.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan menyasarkan pendaftaran kira-kira 6,000 pelarian termasuk perlarian warga Myanmar menerusi DPP tahun ini.
Datuk Seri Saifuddin berkata sasaran itu merangkumi 4,010 individu di depoh tahanan imigresen, manakala selebihnya terdiri daripada pelarian di luar depoh.
Proses pendataan itu merangkumi pengumpulan maklumat peribadi, penggunaan sistem biometrik serta tapisan keselamatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM)dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
“Supaya kita ada satu data yang credible. Data ini adalah satu instrumen keselamatan,” katanya.
Menurutnya, data Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menunjukkan kira-kira 225,000 pelarian direkodkan berada di Malaysia.