Kerajaan yakin biayai Belanjawan 2027 tanpa cukai baharu

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan muncul dalam rancangan Bicara Naratif, disiarkan di RTM 1 bertajuk “Belanjawan 2027: Menggapai Di Langit, Mengakar Di Bumi”/ RTM

KUALA LUMPUR, 12 Oktober – Pengukuhan ekonomi dan penambahbaikan tatakelola perbelanjaan menjadi antara sandaran kerajaan untuk membiayai Belanjawan 2027 berjumlah RM510 bilion tanpa memperkenalkan cukai baharu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mengurangkan ketirisan dan pembaziran untuk memastikan setiap peruntukan digunakan secara cekap dan memberi pulangan optimum kepada negara dan rakyat.
  • Perbelanjaan kerajaan berteraskan keperluan sebenar serta dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab untuk menyokong pertumbuhan ekonomi.
  • Prestasi ekonomi yang mengukuh mencerminkan keyakinan pelabur asing dan membuka ruang kepada penjanaan hasil negara.
  • Memperkukuh tatakelola melalui pengenalan undang-undang baharu bagi memastikan pengurusan kewangan negara lebih berkesan dan berdisiplin.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan memberi penekanan kepada usaha mengekang ketirisan dan pembaziran bagi memastikan setiap peruntukan digunakan secara cekap serta memberikan pulangan optimum kepada negara dan rakyat.

Menurutnya, perbelanjaan kerajaan perlu berteraskan keperluan sebenar, selain dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

“Pendekatan kerajaan adalah untuk memastikan apa yang kita belanja itu adalah perbelanjaan yang sepatutnya dibelanja untuk meningkatkan (ekonomi) negara dan untuk rakyat,” katanya ketika bercakap dalam program Bicara Naratif yang disiarkan RTM 1.

Mengulas lanjut, beliau berkata prestasi ekonomi negara yang terus mengukuh turut mencerminkan keyakinan pelabur asing untuk meneruskan pelaburan di Malaysia, sekali gus membuka ruang kepada penjanaan hasil negara.

Bagaimanapun, katanya, peningkatan hasil perlu disusuli pengurusan kewangan yang berdisiplin, termasuk menutup ruang ketirisan dan meningkatkan kecekapan perbelanjaan kerajaan.

Beliau turut memaklumkan bahawa usaha memperkukuh tatakelola itu akan disokong menerusi pengenalan beberapa undang-undang baharu bagi memastikan pengurusan kewangan negara dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.