
GERIK, 2 November – Pasangan suami isteri maut manakala anak lelakinya cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan bas persiaran di Lebuhraya Timur-Barat, Gerik, petang tadi.
- Kejadian berlaku selepas Hentian Rehat dan Rawat Banjaran Titiwangsa menghala ke Gerik.
- Panggilan kecemasan diterima pada pukul 1.40 petang; ketiga-tiga mangsa ditemukan tersepit dalam kereta.
- Pemandu bas, dua pembantu dan 30 penumpang tidak mengalami kecederaan.
- Anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat; operasi 18 anggota dari Gerik dan Jeli tamat pada pukul 3.30 petang.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad dalam kenyataan memaklumkan, kejadian berlaku selepas Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Banjaran Titiwangsa menghala ke Gerik.
“Panggilan kecemasan diterima pada pukul 1.40 petang. Ketiga-tiga beranak itu ditemukan tersepit di dalam kereta.
“Pemandu berusia 64 tahun dan isterinya berusia 58 tahun yang berada di tempat duduk hadapan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM),” menurut kenyataan itu.
Anak lelaki pasangan itu yang berusia 28 tahun dan duduk di tempat duduk belakang mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke Hospital Gerik.
Sementara itu pemandu bas, dua pembantu serta 30 penumpang pula tidak mengalami kecederaan.
Anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan ketiga-tiga mangsa manakala mayat pasangan suami isteri itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi membabitkan 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik serta Jeli tamat pada pukul 3.30 petang.