
GENEVA, 13 Oktober – Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Volker Türk, menggesa semua pihak meredakan ketegangan susulan serangan ke atas lapangan terbang Riyadh, sambil memberi amaran pertempuran berterusan hanya akan meningkatkan penderitaan orang awam.
- Ketua Hak Asasi PBB menggesa semua pihak meredakan ketegangan, memberi amaran pertempuran berterusan hanya meningkatkan penderitaan orang awam.
- Serangan berulang terhadap orang awam dan infrastruktur dilarang oleh undang-undang kemanusiaan antarabangsa, perlu disiasat dan pelaku mesti dibawa ke muka pengadilan.
- Konflik memperburuk krisis kemanusiaan di Yaman, menyebabkan perpindahan besar dan menyeru hentikan peningkatan ketegangan untuk elak bencana lebih luas.
Beliau berkata demikian selepas Arab Saudi memberi amaran akan mengambil tindakan balas serius susulan beberapa siri serangan kumpulan Houthi dari Yaman ke atas lapangan terbang antarabangsa Riyadh yang dilaporkan mengorbankan 18 orang.
Türk menyifatkan serangan berulang sejak beberapa hari lalu sebagai amat membimbangkan, dengan puluhan rakyat Saudi dan warga asing dilaporkan terbunuh atau cedera.
Beliau menegaskan serangan terhadap orang awam serta infrastruktur awam dilarang di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan perlu disiasat, manakala pihak yang bertanggungjawab mesti dihadapkan kepada tindakan sewajarnya.
“Impak buruk konflik ini terhadap orang awam, sama ada di Yaman mahupun Arab Saudi, menjadi peringatan bahawa pertempuran berterusan hanya akan membawa lebih banyak penderitaan tanpa penghujung,” katanya dalam satu kenyataan.
Türk turut menggesa semua pihak mengurangkan ketegangan bagi mengelakkan bencana yang lebih besar.
Konflik di Yaman kembali memuncak beberapa bulan selepas konflik antara Amerika Syarikat dan Iran mencetuskan krisis di Asia Barat.
Dalam perang saudara itu, gabungan tentera pimpinan Arab Saudi menyokong kerajaan Yaman dalam konflik menentang kumpulan Houthi yang disokong Iran.
Yaman, antara negara termiskin di dunia, sebelum ini sudah berdepan krisis kemanusiaan yang serius akibat konflik berpanjangan.
Sementara itu, Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) melaporkan lebih 217,000 penduduk Yaman terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing sejak pertempuran semakin memuncak.
Ketua pelarian PBB, Barham Salih, turut mengecam serangan ke atas lapangan terbang Riyadh dan menyifatkannya sebagai tindakan yang tidak boleh diterima.
Beliau berkata peningkatan pertempuran serta perpindahan penduduk di Yaman menambahkan penderitaan jutaan orang yang sudah sekian lama terjejas akibat konflik.
Salih menggesa peningkatan ketegangan dihentikan dan semua usaha digembleng bagi menamatkan konflik berkenaan. – AFP