Meta akui kesilapan teknikal jejaskan akaun WhatsApp

Gambar hiasan

CYBERJAYA, 3 Oktober – Meta mengakui berlaku kesilapan teknikal pada sistem WhatsApp sehingga menyebabkan sebahagian aktiviti pengguna yang sah tersalah dikesan sebagai pelanggaran peraturan, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

RINGKASAN BERITA AI
  • Meta memaklumkan masalah teknikal diselesaikan pada penghujung September dan akaun sah yang terjejas dipulihkan secara proaktif.
  • Meta mengesahkan tiada perubahan pada dasar penguatkuasaan atau Terma Perkhidmatan WhatsApp.
  • Penggantungan boleh berpunca daripada nombor telefon kitar semula, aktiviti spam atau penipuan dan corak penggunaan; laporan pengguna bukan satu-satunya faktor.
  • MCMC meminta penambahbaikan proses rayuan dan pemulihan serta akan memantau dan pertimbangkan tindakan kawal selia jika langkah tidak memadai.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kesilapan itu dikenal pasti dalam lebih separuh daripada kes kumpulan pertama yang dikemukakan kepada Meta berhubung isu penggantungan akaun WhatsApp.

Menurut Meta, masalah teknikal berkenaan telah ditangani pada penghujung September dan akaun sah yang terjejas dipulihkan secara proaktif, termasuk sebahagian akaun yang belum mengemukakan rayuan.

Meta turut mengesahkan tiada perubahan dibuat terhadap dasar penguatkuasaan atau Terma Perkhidmatan WhatsApp.

“Bagi kes lain, penggantungan akaun boleh berpunca daripada beberapa faktor termasuk penggunaan nombor telefon kitar semula yang pernah dikaitkan dengan akaun disekat, aktiviti spam atau penipuan serta corak penggunaan yang dikesan sistem keselamatan WhatsApp,” menurut kenyataan itu.

MCMC berkata, laporan pengguna merupakan salah satu faktor yang dinilai dan bukan satu-satunya asas tindakan penggantungan akaun.

Bagi akaun perniagaan, Meta memaklumkan, penghantaran mesej tanpa persetujuan penerima atau dalam jumlah tinggi, khususnya kepada individu yang bukan dalam senarai kenalan, boleh dikesan sebagai aktiviti spam.

Sehubungan itu, MCMC meminta Meta menambah baik proses rayuan dan pemulihan supaya pengguna menerima pengesahan, status semakan serta maklumat tindakan yang lebih jelas dan pantas.

MCMC turut menasihatkan pengguna yang terjejas supaya menggunakan saluran rayuan dan sokongan rasmi WhatsApp.

Suruhanjaya itu akan terus memantau penyelesaian kes tertunggak dan mempertimbangkan tindakan kawal selia selanjutnya sekiranya langkah penambahbaikan Meta didapati tidak memadai.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.