Pembangunan bandar perlu seimbang, seiring pembelaan nasib rakyat – PM

Foto BERNAMA

PETALING JAYA, 4 November – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa perancangan dan pembangunan sesebuah bandar tidak seharusnya diukur pada keindahan fizikal semata-mata, sebaliknya wajib berteraskan nilai kemanusiaan dan kesejahteraan rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perbandaran mesti seimbang: kemajuan moden mesti dijaga sambil membela miskin bandar, kelangsungan perumahan, peniaga kecil dan warung.
  • Perancangan bandar pintar dan tebatan banjir perlu diterjemah kepada pelaksanaan efektif di peringkat pihak berkuasa tempatan.
  • Pertahankan nilai akhlak, tolak tamak serta rasuah; utamakan perpaduan dan penggunaan AI secara rasional demi masa depan negara.

Perdana Menteri berkata, gagasan perbandaran yang dirangka perlu berpegang kepada prinsip “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”, di mana kemajuan landskap moden mesti diseimbangkan dengan pembelaan terhadap golongan marhaen, khususnya miskin bandar.

“Kita tidak menghalang pembinaan mercu tanda ikonik atau gedung moden, namun persoalan mengenai kelangsungan perumahan rakyat, nasib peniaga kecil, serta warung yang menjadi tumpuan hampir 80 peratus rakyat tidak boleh dipinggirkan.

“Pembangunan sesebuah kota sebenarnya adalah pembangunan insan. Ia soal kelangsungan hidup manusiawi yang memerlukan persekitaran lestari, kemudahan asas yang baik, serta kecekapan pelaksanaan di peringkat pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) 2026 Peringkat Kebangsaan di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini, hari ini.

Majlis tersebut turut menyaksikan peluncuran Rancangan Fizikal Negara Kelima (RFN5) dan Dasar Perbandaran Negara Ketiga (DPN3).

Dalam perkembangan berasingan, Datuk Seri Anwar berkata perancangan bandar pintar dan tebatan banjir bukan terletak pada rancangan di atas kertas, tetapi keupayaan pelaksanaannya demi menyelesaikan masalah rakyat di peringkat akar umbi.

“Gagasan sosiologis terkemuka, Ibn Khaldun, yang mengingatkan bahawa tamadun dan kelestarian sesebuah kota itu tercetus daripada cita-cita luhur kemanusiaan, sebelum perancangan teknikal dilaksanakan,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Datuk Seri Anwar berkata idealisme asal pembentukan negara yang berteraskan perpaduan dan kemajuan berisiko terhakis sekiranya masyarakat dan pemimpin terus dibelenggu sikap tamak, kerakusan kuasa serta amalan rasuah.

Perdana Menteri berkata, sejarah kejatuhan tamadun dan empayar besar dunia membuktikan bahawa sesebuah negara tidak kebal daripada kehancuran sekiranya kepincangan akhlak dan nilai dalaman dibiarkan menular.

Memetik teori pemikir Islam, Ibn Khaldun, beliau mengingatkan bahawa keruntuhan nilai budi berpunca daripada hilangnya rasionaliti serta keghairahan merebut kekayaan secara salah.

“Negara dibina atas idealisme perpaduan tokoh-tokoh terdahulu. Namun, membina negara mengambil masa bertahun-tahun, sedangkan meruntuhkannya hanya memerlukan masa sehari jika didorong oleh kebencian dan kelemahan budaya kerja.

“Sebab itu dalam mengemudi negara MADANI, kita menekankan keperluan bersaing dalam arus pemodenan seperti teknologi Kecerdasan Buatan (AI) secara rasional, tanpa membiarkan anak bangsa kita ketinggalan di belakang,” tegas beliau.

Perdana Menteri turut menyeru agar segala perbezaan politik diketepikan dan semua pihak kembali membina perpaduan demi menyelamatkan masa depan negara daripada terus terhakis oleh sentimen perpecahan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.