Konflik Asia Pasifik : Malaysia perkukuh kesiagaan pertahanan

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 November – Malaysia mengekalkan pendirian neutral, tegas dan berimbang dalam menghadapi peningkatan ketegangan serta eskalasi ketenteraan di rantau Asia Pasifik, khususnya perkembangan di Laut China Selatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan tidak sambil lewa; melaksanakan langkah persediaan bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.
  • Kesiagaan pertahanan diperkukuh menerusi tiga pendekatan: unilateral, bilateral dan multilateral.
  • Pendekatan unilateral memberi tumpuan pemodenan aset, pembangunan keupayaan ATM, latihan berterusan dan peningkatan kapasiti anggota.
  • Perairan diperkuat melalui rondaan dan pemantauan; operasi tunggal dan bersepadu melibatkan TLDM, TUDM serta Maritim Malaysia.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pendirian itu tidak bermakna kerajaan mengambil sikap sambil lewa terhadap perkembangan semasa, sebaliknya pelbagai langkah persediaan dilaksanakan bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.

“Secara asasnya, kerajaan berpendirian untuk tidak mencampuri dasar pertahanan dan keselamatan negara lain, serta menghormati hak setiap negara berdaulat untuk menentukan dasar pertahanannya.

“Namun begitu, ini sama sekali tidak bermakna kita tidak memberi perhatian serius dan membuat persediaan yang sewajarnya,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Selayang di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, kesiagaan pertahanan negara terus diperkukuh menerusi tiga pendekatan, iaitu secara unilateral, bilateral dan multilateral.

Bagi pendekatan unilateral, katanya, kerajaan memberi tumpuan kepada empat langkah utama, termasuk pemodenan aset dan pembangunan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara berterusan serta memperkukuh latihan dan pembangunan kapasiti anggota.

Langkah lain melibatkan peningkatan kehadiran pasukan keselamatan di perairan negara menerusi rondaan dan pemantauan berterusan, selain membangunkan daya tahan masyarakat.

Menurut Datuk Seri Mohamed Khaled, pendekatan itu secara kolektif membentuk keupayaan cegah rintang yang kredibel bagi memastikan negara sentiasa bersedia menghadapi pelbagai ancaman keselamatan.

Katanya, operasi rondaan dan pemantauan dilaksanakan menerusi operasi tunggal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atau operasi bersepadu yang turut melibatkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.