
TEHRAN, 4 November – Empat kapal tangki minyak terbakar selepas terkena periuk api ketika cuba melalui Selat Hormuz, dakwa Iran pada Rabu.
- IRGC berkata dua lagi kapal berjaya dihentikan.
- IRGC memaklumkan pihaknya menembak jatuh sebuah dron di ruang udara Selat Hormuz.
- Trump mengesahkan AS melancarkan serangan ke atas Iran susulan laporan serbuan di Qeshm.
- Iran sedia membuka semula Selat Hormuz hanya jika Washington memenuhi tuntutan lama Tehran.
“Empat kapal tangki minyak yang tidak mematuhi arahan dan cuba melalui laluan larangan di selatan Selat Hormuz musnah selepas terkena periuk api laut dan masih terbakar.
“Dua lagi kapal turut berjaya dihentikan,” kata Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) dalam satu kenyataan yang dipetik stesen televisyen kerajaan.
IRGC turut memaklumkan bahawa pihaknya telah menembak jatuh sebuah dron di ruang udara Selat Hormuz.
Perkembangan itu berlaku sehari selepas Presiden Donald Trump mengesahkan Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas Republik Islam itu, susulan laporan mengenai serbuan di Qeshm, pulau terbesar di selat berkenaan.
Konflik yang tercetus antara AS dan Israel dengan Iran pada Februari lalu telah berlarutan selama beberapa bulan.
Hubungan tidak langsung antara AS dengan Iran melalui orang tengah masih diteruskan, namun belum menunjukkan petanda kemajuan diplomatik.
Iran dilaporkan berkata, pihaknya bersedia membuka semula Selat Hormuz, hanya jika Washington bersetuju memenuhi senarai tuntutan yang telah lama dikemukakan Tehran.
Menurut Ketua perunding Iran dalam rundingan dengan AS, Mohammad Bagher Ghalibaf, Republik Islam itu bersedia untuk berperang, meskipun Presiden Masoud Pezeshkian menegaskan kerajaan beliau sedang berusaha menyelesaikan krisis berkenaan melalui dialog.
“Tiada pihak mendapat manfaat daripada perang ini sekiranya pertempuran kembali tercetus,” kata Pezeshkian pada Selasa. -AFP